Lagi sungai dicemari DNA babi

Sungai Rambai menjadi sungai paling tercemar di Malaysia untuk tempoh dua tahun berturut-turut.
Sungai Rambai menjadi sungai paling tercemar di Malaysia untuk tempoh dua tahun berturut-turut.
A
A
A

ISU pencemaran sungai di Malaysia terus berulang.

Terbaharu, Sinar Harian membongkarkan misteri penemuan air berwarna merah di dalam longkang yang mengalir ke Sungai Rambai di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Hasil ujian sampel mendapati lokasi air berwarna merah yang mengalir dikesan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi.

Untuk rekod, sungai tersebut merupakan satu-satunya sungai di Malaysia yang menghuni tangga teratas sungai tercemar di Kelas Lima berdasarkan Standard Kualiti Air Kebangsaan bagi tempoh dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2019 dan 2020.

Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2020 juga meletakkan sembilan lagi sungai tercemar berada pada Kelas Empat antaranya lima di Johor, dua di Pulau Pinang dan masing-masing satu di Melaka, Selangor/Kuala Lumpur.

Krisis pencemaran sungai bukanlah isu baharu yang menjadi kebimbangan rakyat Malaysia.

Sebelum ini juga banyak laporan yang didedahkan oleh media berhubung pencemaran sungai sama ada di bandar mahupun luar bandar.

Antara yang mendapat perhatian, analisis makmal ke atas kualiti air Sungai Kereh di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada tahun lalu membuktikan punca pencemaran sungai berkenaan adalah daripada najis babi yang dilepaskan dari Kampung Selamat.

Artikel Berkaitan:

Keadaan sungai itu telah menghantui penduduk sekitar sejak kira-kira 40 tahun lalu.

Bayangkan bagaimana penduduk kampung terpaksa bertahan tinggal dalam suasana busuk setiap hari akibat aktiviti penternakan haiwan tersebut.

Pada 2019 juga kecoh apabila pencemaran kimia berbahaya di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang telah mengakibatkan penduduk berhampiran sungai berkenaan, termasuk puluhan pelajar sekolah di kawasan itu diserang sesak nafas, loya, pening dan pitam.

Insiden terburuk itu menjejaskan kira-kira 6,000 penduduk terutama pelajar sehingga 111 sekolah di kawasan berkenaan diarah tutup sementara.

Mahkamah Sesyen di Johor Bahru dimaklumkan bahawa bahan buangan terhasil daripada kilang pemprosesan tayar yang dikaitkan dengan insiden pencemaran Sungai Kim Kim adalah buangan berjadual jenis SW311 ‘enap cemar minyak’.

Pencemaran sungai bukan hanya menjejaskan kesihatan, kegiatan ekonomi, sumber makanan penduduk, aktiviti pelancongan, malah turut memberikan kesan kepada kepupusan sumber protein.

Tidak dapat dinafikan kejadian-kejadian ini ada kaitannya dengan segelintir pihak berkepentingan yang tidak bertanggungjawab.

Bagaimanapun, perlu diingat tugas menjaga kelestarian sungai juga adalah tanggungjawab setiap ahli masyarakat.

Sungai adalah khazanah kiriman Tuhan yang perlu dipelihara. Justeru, mainkanlah peranan sebaiknya supaya kita dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti dan sihat.