18 SPEG dibina atasi konflik gajah, manusia

Sebanyak 18 SPEG telah dibina sejak 2009 bagi mengatasi konflik gajah dan manusia. - Foto Perhilitan
Sebanyak 18 SPEG telah dibina sejak 2009 bagi mengatasi konflik gajah dan manusia. - Foto Perhilitan
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 18 Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) dibina sejak tahun 2009 di Semenanjung Malaysia sebagai inisiatif Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk pengurusan konflik gajah dan manusia.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, sehingga tahun ini, keseluruhan SPEG sepanjang 305.6 kilometer (km) melibatkan kos mencecah RM13.4 juta.

Menurutnya, SPEG bertujuan menghalang gajah daripada memasuki kawasan perkampungan dan ladang-ladang penduduk seterusnya dapat mengurangkan kadar aduan konflik manusia dan gajah.

"Di Semenanjung Malaysia terdapat enam negeri yang menjadi habitat kepada gajah iaitu Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor.

Abdul Kadir
Abdul Kadir

"Jabatan Perhilitan telah membina SPEG pertama pada tahun 2009 di Kampung Sungai Rual-Pasir Dusun, Jeli, Kelantan yang mempunyai jarak sepanjang 15km.

"Sehingga tahun 2022, jabatan telah membina 18 SPEG di seluruh Semenanjung Malaysia," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) menghalang gajah memasuki kawasan perkampungan dan ladang penduduk. - Foto Perhilitan
Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) menghalang gajah memasuki kawasan perkampungan dan ladang penduduk. - Foto Perhilitan

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bencana alam dan kes-kes kecurian peralatan SPEG menjadi cabaran utama bagi Perhilitan dalam memastikan sistem pagar berkenaan dapat berfungsi dengan baik dan seterusnya dapat mengurangkan aduan konflik gajah di kawasan-kawasan perkampungan.

Katanya, pada tahun ini setakat Julai, Perhilitan telah menerima sebanyak 435 aduan berkaitan konflik manusia dan gajah.

Perhilitan telah menangkap dan memindahkan sebanyak 22 ekor gajah dari lokasi konflik ke habitat yang lebih sesuai.
Perhilitan telah menangkap dan memindahkan sebanyak 22 ekor gajah dari lokasi konflik ke habitat yang lebih sesuai.

"Berdasarkan situasi tertentu, pihak jabatan telah menangkap dan memindahkan sebanyak 22 ekor gajah dari lokasi konflik ke habitat yang lebih sesuai seperti di Hutan Simpan Tembat Terengganu dan Taman Negeri Royal Belum.

"Mengikut pecahan aduan konflik gajah yang diterima mengikut negeri adalah Kelantan (226 aduan), Johor (86 aduan), Pahang (47 aduan), Perak (34 aduan), Terengganu (25 aduan), Kedah (16 aduan) dan Negeri Sembilan (1 aduan)," ujarnya.

Sebanyak 435 aduan berkaitan konflik manusia dan gajah diterima pada tahun ini sehingga Julai. - Foto Perhilitan
Sebanyak 435 aduan berkaitan konflik manusia dan gajah diterima pada tahun ini sehingga Julai. - Foto Perhilitan

Jelasnya, buat masa ini terdapat tiga pusat konservasi gajah di Semenanjung Malaysia di bawah seliaan Perhilitan iaitu Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Lanchang, Pahang; Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Hulu Terengganu dan Santuari Gajah Johor di Kota Tinggi, Johor.