Draf rancangan jamin kelestarian Tasik Chini siap dirangka

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Tasik Chini (Pengubahan) telah siap dirangka kerajaan Pahang bagi menjamin kelestarian di kawasan terbabit.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, draf terbabit akan menjadi panduan kepada kerajaan Pahang dan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar sebarang bentuk pembangunan di Tasik Chini hendaklah dilaksanakan tanpa menjejaskan ekosistemnya.

"Kerajaan Pahang menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri yang bersidang pada hari ini (Selasa) telah dimaklumkan berkenaan Draf RKK Tasik Chini yang telah siap.

"Draf ini disediakan selaras dengan peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) serta cadangan untuk mengadakan Program Publisiti dan Penyertaan Awam pada Oktober tahun ini," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, menerusi Draf RKK Tasik Chini ini, beberapa perkara utama telah diambil kira bagi tujuan itu.

Jelasnya, antaranya adalah cadangan pengubahsuaian sempadan baharu Rizab Biosfera Tasik Chini, iaitu daripada 6,951.44 hektar kepada 9,142.62 hektar.

"Kajian RKK Tasik Chini adalah seluas 55,586.12 hektar iaitu mengambil kira kawasan ambang dan rangkaian ekologi Central Forest Spine.

"Selain itu, cadangan pengubahsuaian selaras dengan pewartaan baharu Hutan Simpan Kekal (HSK) Chini berkeluasan 6,502.8 hektar di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313)," ujar Wan Rosdy.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Draf RKK Tasik Chini ini adalah dengan Enakmen Perbadanan Taman Negeri Pahang 2021 dan Enakmen Biodiversiti Negeri Pahang.

Di samping itu, katanya, Zon Rizab Biosfera Tasik Chini meliputi Zon Utama (Core Zone), Zon Penampan (Buffer Zone) dan Zon Peralihan (Transition Zone) sebagaimana keperluan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNESCO), manakala kawasan ambang dinamakan sebagai Zon Pinggiran Biosfera.

"Cadangan pengubahsuaian strategi pengurusan alam sekitar dengan penambahbaikan kepada Pelan Sensitif Alam Sekitar dan cadangan pengubahsuaian pengurusan dan pelaksanaan," tegasnya.