14,140 kes jenayah dalam talian direkod, rugi RM482 juta

Acryl Sani
Acryl Sani
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) merekodkan sebanyak 14,140 kes jenayah dalam talian membabitkan kerugian RM482 juta bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, jumlah itu menurun sebanyak 6,561 kes berbanding 20,701 kes yang direkodkan dengan kerugian RM560 juta bagi tempoh sepanjang tahun lalu.

"Kes pembelian dalam talian merekodkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 6,449 kes pada tahun ini (Januari hingga Ogos lalu) membabitkan kerugian RM89 juta berbanding 9,499 kes (RM73 juta) pada tahun lalu.

"Sebanyak 2,191 kes pinjaman tidak wujud direkodkan pada tahun ini dengan kerugian RM25 juta berbanding 4,784 kes (RM50 juta) pada tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perasmian Duta Anti-Scam di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Selasa.

Acryl Sani berkata, pihaknya turut merekodkan 2,379 kes penipuan pelaburan dalam talian membabitkan kerugian RM151 juta pada tahun ini berbanding 3,195 kes (RM245 juta) pada tahun lalu.

"Bagi kes Macau Scam pula, sebanyak 2,439 kes direkodkan dengan kerugian RM147 juta pada tahun ini berbanding 1,585 kes (RM84 juta) pada tahun lalu.

"Sebanyak 549 kes dengan kerugian RM39 juta membabitkan African Scam direkodkan pada tahun ini manakala 1,460 kes (RM56 juta) dicatatkan pada tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, penipuan khidmat pesanan ringkas (SMS) pula merekodkan 101 kes membabitkan kerugian lebih RM1.3 juta pada tahun ini berbanding 121 kes (RM1.7 juta) pada tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Bagi kes penipuan emel perniagaan pula, sebanyak 32 kes direkodkan dengan RM28 juta kerugian pada tahun ini berbanding 57 kes (RM49 juta) pada tahun lalu,” jelas beliau.