Muhammad Shafee dibenar pinda tarikh pelepasan sementara pasport

Muhammad Shafee ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 5 September lalu. - Foto Bernama
Muhammad Shafee ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 5 September lalu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk meminda tarikh pelepasan pasport bagi membolehkannya menghadiri mesyuarat perundangan di Australia dengan peguam kanan dari United Kingdom.

Muhammad Shafee memohon untuk meminda tarikh pelepasan sementara pasportnya itu kepada 15 September hingga 19 September 2022.

Tarikh sebelum ini ialah 6 September hingga 12 September 2022.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan Muhammad Shafee itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz tidak membantah permohonan tersebut.

Terdahulu, peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Muhammad Shafee berkata, pihaknya memohon untuk meminda tarikh pelepasan sementara pasport anak guamnya dari 6 hingga 12 September 2022 kepada 15 hingga 19 September 2022 dan dipulangkan semula kepada mahkamah pada 22 September.

"Tan Sri Muhammad Shafee perlu menangguhkan penerbangannya ke Australia kerana peguam kanan Geoffrey Robertson memerlukan sedikit masa untuk memahami dan menghalusi dokumen sebelum beliau bersedia untuk memberi nasihat serta cadangan kepada Tan Sri,” katanya.

Muhammad Shafee, 70, peguam utama kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyerahkan pasportnya kepada mahkamah pada September 2018 selepas beliau sendiri didakwa di mahkamah.

Permohonan bagi pelepasan sementara pasportnya untuk ke luar negara beberapa kali sebelum ini juga dibenarkan mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Shafee didakwa atas dua pertuduhan menerima RM9.5 juta yang merupakan hasil aktiviti haram melalui dua cek yang dikeluarkan oleh Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Pada 12 Mei lepas, pihak pendakwaan menutup kes berkenaan selepas memanggil lapan saksi pada perbicaraan yang bermula 21 Mei 2021 dan hujahan lisan ditetapkan pada 15 September. - Bernama