Hibah TH 1.25 peratus, ia mendukacitakan pendeposit

 Ahmad Amzad
Ahmad Amzad
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pengumuman agihan hibah atau bonus sebanyak 1.25 peratus adalah khabar tidak enak yang mendukacitakan pendeposit Tabung Haji (TH).

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, banyak pihak terkesan dengan pengumuman yang sememangnya dinanti-nantikan itu.

"Sejak hampir 10 tahun, tidak pernah dalam sejarah hibah serendah ini.

"Saya tak faham mengapa menteri yang berkenaan boleh kata ia seolah-olah berita yang menggembirakan, sedangkan ia mendukacitakan umat Islam negara ini," katanya.

Ahmad Amzad berkata, beliau menerima banyak pertanyaan berhubung hibah sebelum ia diumumkan secara rasmi.

"Saya secara peribadi dikunjungi penduduk kampung bertanyakan mengenai hibah. Ini membuktikan ia adalah sesuatu yang dinantikan mereka.

"Ia melibatkan rakyat marhain yang percaya TH adalah institusi selamat untuk tabungan mereka.

"Setelah apa yang diumumkan itu, ternyata rakyat begitu kecewa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, katanya, pihaknya berharap ada tindakan yang akan dilakukan kerajaan berhubung perkara itu.

"Kita perlu jaga keyakinan rakyat terhadap Tabung Haji.

"Jadi, kerajaan perlu berusaha untuk beri pulangan terbaik kepada penabung dan tidak terlalu menuding jari kepada kerajaan terdahulu," katanya.