Malaysia, Qatar perkukuh kerjasama saintifik tangani rasuah

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki. - Foto Bernama
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki. - Foto Bernama
A
A
A

DOHA - Malaysia dan Qatar berhasrat meningkatkan kerjasama saintifik dan praktikal dalam memerangi rasuah dan berkongsi pengalaman untuk meningkatkan ketelusan dan integriti sektor swasta kedua-dua negara.

Presiden Pihak Berkuasa Kawalan Pentadbiran dan Ketelusan Qatar (ACTA), Hamad bin Nasser Al Misnad berkata demikian semasa pertemuan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan delegasinya di pejabat beliau di sini, pada Ahad.

"ACTA mengalu-alukan semua bentuk kerjasama dengan SPRM dan sedia berkongsi kejayaan dan pengalaman Qatar dalam mencegah dan memerangi rasuah, yang dapat menyumbang kepada peningkatan integriti dan ketelusan bagi manfaat kedua-dua pihak,” katanya dipetik oleh Agensi Berita Qatar.

Azam berada di Qatar untuk meninjau pengalaman negara itu dalam bidang anti-rasuah dan kerajaan digital.

Semasa pertemuan itu, kedua-dua pihak mengkaji usaha masing-masing dalam menggalakkan integriti dan memerangi rasuah, dengan mengambil kira persamaan kompetensi ACTA dan SPRM dalam bidang pencegahan, latihan dan memperkenalkan integriti dalam sektor swasta.

Hamad juga memuji usaha SPRM untuk mencapai kepimpinan dalam petunjuk antarabangsa yang berkaitan, serta usaha gigihnya untuk meningkatkan integriti dan ketelusan di peringkat antarabangsa, selain menganjurkan kursus latihan, dengan sokongan kerajaan Malaysia.

"Delegasi Malaysia telah mendengar pengalaman Qatar dalam memerangi rasuah, dan kedua-dua pihak akan berusaha untuk meningkatkan kerjasama saintifik dan praktikal dalam perkara itu,” tambahnya.

Sementara itu Azam berkata, Malaysia telah menjadi tuan rumah kepada majlis anugerah untuk pemenang Anugerah Kecemerlangan Antirasuah Antarabangsa Sheikh Tamim Hamad Al Thani edisi ketiga pada 2018. Ketika itu, Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani dan bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad bersama-sama merasmikan monumen antirasuah yang diperbuat daripada besi tahan karat di Dataran Putra di Putrajaya.

Artikel Berkaitan:

Monumen dalam bentuk tangan besi itu, melambangkan bahawa semua negara di dunia berganding bahu dalam memerangi rasuah.

Semasa pertemuan itu, Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat Qatar berkongsi dengan SPRM mengenai transformasi digital dan kerajaan digital di negara itu. Transformasi itu bertujuan meningkatkan tahap perkhidmatan kerajaan kepada individu dan syarikat, selain meningkatkan kecekapan proses pentadbiran kerajaan, meningkatkan tahap ketelusan dan keterbukaan kerajaan terhadap orang ramai. - Bernama