Aktivis sosial gesa polis siasat perjanjian Muhyiddin-PM

Osman (kanan) menunjukkan laporan polis dibuatnya di IPD Dang Wangi,Kuala Lumpur pada Isnin.
Osman (kanan) menunjukkan laporan polis dibuatnya di IPD Dang Wangi,Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sekumpulan aktivis sosial membuat laporan polis berhubung dakwaan kewujudan perjanjian antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang disifatkan sebagai menderhaka institusi diraja.

Wakil aktivis sosial, Osman Abu Bakar berkata, perjanjian terbabit dipercayai mempunyai syarat-syarat yang dipersetujui oleh Ismail Sabri untuk mendapatkan sokongan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum diangkat sebagai Perdana Menteri.

"Perjanjian ini tidak dihebahkan dan tidak dirujuk kewujudannya untuk persetujuan ahli Parlimen lain sebelum mereka memberi sokongan kepada Ismail Sabri.

Sekiranya perjanjian ini benar wujud, ia telah melanggar hukum asas undang-undang kontrak memandangkan benefisiari (ahli Parlimen) yang terlibat tidak mengetahui kewujudan perjanjian ini.

"Kewujudan perjanjian ini jelas memperdayakan keputusan yang telah dibuat Yang di-Pertuan Agong," katanya kepada pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selepas membuat laporan di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Osman berkata, kewujudan perjanjian terbabit adalah satu penderhakaan kepada institusi diraja kerana Yang di-Pertuan Agong dengan jelas bertitah bahawa Seri Paduka Baginda yakin sokongan diberikan 114 ahli Parlimen terhadap Ismail Sabri secara sukarela dan tanpa syarat.

Tambah beliau, kenyataan dibuat Muhyiddin Yassin; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berhubung 'perjanjian' terbabit memperkuatkan lagi spekulasi kewujudan perjanjian itu.

"Saya mendapati ada beberapa kenyataan media oleh beberapa individu termasuk Muhyiddin dan Hamzah berkenaan perjanjian ini.

"Saya buat laporan hari ini untuk bagi tahu kepada rakyat yang 'perjanjian' semua ini Yang di-Pertuan Agong pun tak tahu," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Pada 1 September, media tempatan melaporkan, Annuar Musa menafikan perkara itu dan menyifatkan ia sekadar persefahaman bukan perjanjian khas antara Muhyiddin dan Ismail Sabri.

Sebelum itu, Ketua Setiausaha Sulit bekas Perdana Menteri, Datuk Dr Marzuki Mohamad dilapor berkata, beliau menyaksikan sendiri perjanjian terbabit dimeterai oleh kedua-dua pemimpin berkenaan pada 17 Ogos 2021.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.