Lebih 96,500 benih ikan dilepas ke Tasik Chini

Abdullah (kanan) menyaksikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (depan, tengah) dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (dua dari kiri) melepaskan benih ikan di Tasik Chini, pada Sabtu.
Abdullah (kanan) menyaksikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (depan, tengah) dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (dua dari kiri) melepaskan benih ikan di Tasik Chini, pada Sabtu.
A
A
A

PEKAN - Jabatan Perikanan Negeri Pahang melepaskan lebih 96,500 benih ikan pelbagai spesies ke Tasik Chini di sini sejak tahun lalu.

Pelepasan benih ikan secara berperingkat itu daripada spesies lampam sungai, baung, sebarau dan terbol.

Pengarah Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, benih-benih ikan yang dilepaskan diperoleh daripada Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Perlok, Jerantut dan PPA Bukit Tinggi, Bentong.

Menurutnya, usaha itu dijalankan bagi menambah stok ikan di perairan tasik tersebut untuk dimanfaatkan golongan nelayan darat termasuk komuniti Orang Asli setempat.

"Melalui langkah ini juga akan menggalakkan aktiviti memancing yang boleh menjadi produk tambahan kepada sektor pelancongan dalam menarik lebih ramai pengunjung ke tasik tersebut," katanya.

Abdullah sebelum itu hadir pada program pelepasan 21,000 benih ikan air tawar di Tasik Chini sempena Program Penanaman Pokok dan Penggayaan Tasik Chini di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya akan terus berusaha menambah stok ikan di Tasik Chini menerusi program pelepasan benih ikan spesies utama seperti lampam sungai, baung, sebarau dan terbol secara berterusan setiap tahun.

"Pada masa sama, kami mengharapkan kerjasama komuniti setempat untuk pengawalan kegiatan dilarang di tasik itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, Jabatan Perikanan Negeri Pahang sentiasa memberi perhatian terhadap usaha menambah stok ikan di perairan umum negeri ini.

"Selain tasik, aktiviti pelepasan benih ikan turut dilakukan di beberapa sungai utama dan empangan.

"Selain benih ikan, kami turut melepaskan benih udang galah di beberapa sungai di negeri ini antaranya di Sungai Rompin dan Sungai Pontian di Rompin dan Sungai Kuantan serta Sungai Bukit Rangin di Kuantan," katanya.