ProtectHealth sasar 11,302 di Pahang buat saringan Peka B40

Mohd Fadzrel (kiri) bersama petugas ProtectHealth (kanan) memberikan penerangan kepada penduduk yang hadir dalam program tersebut.
Mohd Fadzrel (kiri) bersama petugas ProtectHealth (kanan) memberikan penerangan kepada penduduk yang hadir dalam program tersebut.
A
A
A

BERA - ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) menyasarkan seramai 11,302 orang di Pahang melakukan saringan kesihatan menerusi Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) pada tahun ini.

Ketua PeKa B40 Negeri Pahang, Mohd Fadzrel Abu Bakar memberitahu, seramai 5,370 yang layak di Pahang telah melakukan saringan tersebut sehingga 11 September lalu.

Menurutnya, ProtectHealth akan menggandakan usaha untuk memastikan jumlah sasaran itu tercapai sekali gus mereka yang layak menerima manfaat yang ditawarkan oleh skim terbabit.

Untuk tahun ini, kita telah melakukan program jangkauan luar iaitu dua di Kuantan, di Sungai Isap Murni dan Inderapura serta di Tanah Rata, Cameron Highlands.

"Untuk masyarakat Orang Asli, Kampung Ibam di Bera menjadi lokasi pertama OA pada tahun ini dan ProtectHealth turun padang supaya mereka tidak ketinggalan mendapat manfaat skim ini," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata sedemikian sempena program Lah Hea Sihat bersama komuniti OA dan Hari Jantung Sedunia 2022 peringkat daerah Bera yang berlangsung di Dewan Komuniti Kampung Ibam di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau gembira dengan jumlah saringan di Kampung Ibam amat memberansangkan dan berharap Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Bera akan terus melakukan usaha untuk memastikan lebih ramai OA di Bera untuk hadir melakukan saringan.

Sementara itu, pelbagai aktiviti dijalankan antaranya saringan kesihatan kebangsaan, pameran kesihatan, pertandingan mewarna, menyumpit dan cabutan bertuah sempena program tersebut.

Artikel Berkaitan:

Skim PeKa B40 dilancarkan pada April 2019 yang dikendalikan oleh ProtectHealth yang juga anak syarikat di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah dengan memberi fokus terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD).

Empat manfaat ditawarkan dalam skim tersebut iaitu saringan kesihatan, bantuan alat perubatan,insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan.

Bagi penerima Bantuan Prihatin Rakyat 2021 (BPR 2021) yang berusia 40 tahun dan ke atas boleh melakukan semakan di pekab40.com.my.