Mula-mula culik kucing, lama-lama culik anak orang pula

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PENCULIK kucing tuntut wang tebusan RM6,000! Bunyinya macam kelakar tetapi itulah yang berlaku di Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Menurut cerita, penculik mengugut supaya pemilik membayar wang tersebut jika tidak mahu kucingnya dicampak ke dalam sungai.

Merak Jalanan percaya ramai dalam kalangan kita yang gemar memiliki haiwan peliharaan. Kucing, arnab, ikan dan burung adalah paling popular di Malaysia.

Dalam banyak-banyak haiwan ini, Merak Jalanan perhatikan kucing adalah yang teristimewa. Kadangkala haiwan itu dibelai dan dijaga lebih daripada anak sendiri. Pelik tapi benar.

Pencinta kucing sanggup melakukan apa sahaja. Allahyarham Adibah Noor misalnya, semasa hayatnya menyediakan wang belanja kira-kira RM3,000 setiap bulan untuk membeli makanan dan keperluan 24 ekor kucing yang dijaganya.

Di China, seorang lelaki sanggup menghabiskan wang simpanan untuk menjayakan projek pengklonan kucing kesayangannya yang mati akibat jangkitan pundi kencing.

Menurut New York Times, lelaki itu, Huang Yu bekerjasama dengan sebuah syarikat bioteknologi dan membelanjakan RM146,000 untuk menghidupkan semula kucing jenis British Short Hair itu.

Pelakon popular, Rita Rudaini pula tidak lama dahulu pernah membuat laporan polis selepas mengesyaki kehilangan kucingnya yang diberi nama Pekan berkemungkinan telah dijual oleh pihak tidak bertanggungjawab. Kucing baka British Short Hair itu dijumpai tidak lama kemudian.

Artikel Berkaitan:

Merak Jalanan percaya jenayah penculikan haiwan peliharaan adalah real, lebih-lebih lagi jika pemiliknya berstatus selebriti dan pencinta tegar kucing.

Hal-hal yang dianggap kecil dan lucu tidak mustahil berubah menjadi parah jika tiada tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa.

Mula-mula cuba-cuba culik kucing, lepas itu mungkin kanak-kanak dan orang dewasa pula yang jadi mangsa.