Tuntut wang jual motosikal, lelaki nyaris ditetak

Seorang lelaki nyaris ditetak ketika mendapatkan wang bayaran jual beli motosikal di Kampung Fajar, Taman Melawati, dekat sini pada 11 Jun lalu.- Gambar hiasan
Seorang lelaki nyaris ditetak ketika mendapatkan wang bayaran jual beli motosikal di Kampung Fajar, Taman Melawati, dekat sini pada 11 Jun lalu.- Gambar hiasan
A
A
A

AMPANG - Seorang lelaki nyaris ditetak ketika cuba mendapatkan wang bayaran jual beli motosikal berjumlah RM1,400 dalam satu kejadian di Kampung Fajar, Taman Melawati, dekat sini pada 11 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian 2 pagi tersebut, lelaki berusia 22 tahun itu bersama seorang rakannya telah ke rumah suspek di Kampung Fajar.

Beliau berkata, ketika sampai di lokasi kejadian, suspek bersama seorang rakan telah datang menengking mangsa serta rakannya.

"Situasi menjadi sedikit tegang apabila suspek dan rakannya mengambil parang hendak menetak kepala pengadu yang bekerja sebagai kelindan lori.

"Namun tindakan agresif itu sempat dihalang oleh rakan pengadu, namun suspek dan rakannya kemudian telah bertindak menampar pipi pengadu.

"Motif kejadian kerana suspek tidak membayar nilai membeli motosikal yang dijanjikan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata, pengadu dan rakannya bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.

Ekoran kejadian itu katanya, pada Sabtu jam 2.10 petang, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah membuat tangkapan terhadap dua lelaki tempatan berusia 34 dan 20 tahun.

Menurut beliau, suspek masing-masing bekerja sebagai pemandu lori dan penganggur ditahan di pekarangan IPD Ampang Jaya kerana terlibat dalam kes yang disiasat.

Tambahnya, kedua-dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau kerana terlibat dengan dadah dan jenayah.

Kata beliau, berdasarkan keputusan ujian air kencing yang dilakukan, kedua-dua suspek bagaimanapun bebas daripada mengambil dadah.

"Permohonan reman telah dibuat dan dibenarkan selama dua hari bermula hari ini.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan ugutan jenayah yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," ujarnya.