Di mana Leonard Glenn Francis?

Poster memaparkan wajah Francis yang diklasifikasikan oleh Marsyal AS sebagai pelarian kes utama. - Foto Agensi
Poster memaparkan wajah Francis yang diklasifikasikan oleh Marsyal AS sebagai pelarian kes utama. - Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Perkhidmatan Marsyal Amerika Syarikat (AS) menawarkan ganjaran sehingga AS$40,000 (RM179,920) untuk maklumat tentang ahli perniagaan warga Malaysia, Leonard Glenn Francis yang melarikan diri daripada tahanan rumah pada minggu lalu.

CNA melaporkan tawaran itu diberikan Perkhidmatan Siasatan Jenayah Tentera Laut AS kepada mana-mana pemberi maklumat yang membawa kepada penahanan Francis, 57, atau lebih dikenali sebagai ‘Fat Leonard’.

Kontraktor kelahiran Pulau Pinang yang terlibat skandal rasuah itu meloloskan diri daripada tahanan rumah di San Diego, California pada Ahad lalu, beberapa minggu sebelum hukuman ke atasnya diputuskan pada 22 September ini.

Poster ‘individu dikehendaki’ memaparkan wajah Francis yang diklasifikasikan oleh Marsyal AS sebagai ‘pelarian kes utama’ dengan maklumat fizikal termasuk ketinggiannya turut diedarkan kepada umum.

“Individu berketurunan Asia itu tidak mempunyai kesan parut atau tatu pada tubuhnya,” jelas maklumat yang tertera pada poster tersebut.

Menurutnya, agensi persekutuan cuba untuk menghubungi Francis, namun gagal setelah menerima isyarat amaran pada 4 September lalu, malah peguam bela tertuduh kes rasuah itu juga tidak berjaya mengesan jejaknya.

Hasil pemeriksaan Jabatan Polis San Diego di kediaman yang menempatkan Francis juga mendapati dia telah memotong gelang pemantauan GPS yang dipasang pada kakinya.

Sehingga kini, dia gagal dikesan pihak berkuasa AS. - Agensi

Artikel Berkaitan:


INFO


>Francis yang mengendalikan firma kontraktor tentera berpusat di Singapura pertama kali ditahan pada 2013 ketika operasi dilancarkan agensi persekutuan di sebuah hotel di San Diego.

>Dia disyaki terlibat skim rasuah melibatkan beberapa pegawai Tentera Laut AS dengan menawarkan rasuah termasuk perkhidmatan seks sebagai pertukaran untuk mendapatkan kontrak.

>Pada 2015, Francis mengaku bersalah menawarkan wang suapan berjumlah kira-kira AS$500,000 (RM2.24 juta) kepada pegawai Tentera Laut AS untuk memperoleh kontrak dan dikatakan turut mengaut keuntungan sebanyak AS$35 juta (RM157 juta) akibat kos bayaran secara berlebihan.

>Francis dikatakan mengalami beberapa masalah kesihatan termasuk barah buah pinggang yang menyebabkannya diletakkan di bawah tahanan rumah pada 2018 di samping menjadi saksi kerjasama untuk pendakwa raya persekutuan.

>Seramai empat pegawai Tentera Laut AS disabit bersalah dalam kes itu manakala 29 individu lain termasuk Francis mengaku bersalah terlibat skandal rasuah tersebut.