Hampir 40,000 orang jalani saringan kesihatan

Siti Mariah
Siti Mariah
A
A
A

SUBANG JAYA - Hampir 40,000 orang hadir untuk menjalani pemeriksaan kesihatan menerusi program Selangor Saring yang diadakan sejak Mei lalu di 55 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, jumlah tersebut melepasi sasaran awal yang ditetapkan oleh pihaknya iaitu 31,500 orang dengan 500 orang di setiap DUN.

Menurutnya, jumlah orang ramai hadir menjalani pemeriksaan kesihatan itu mewakili 70 peratus daripada kira-kira 55,000 orang yang mendaftar untuk menyertai program berkenaan dalam aplikasi SELangkah.

"Jumlah saringan pemeriksaan meliputi ujian air kencing, darah dan lain pula mencapai lebih 45,000 dan ia jumlah yang tinggi.

"Kejayaan ini merupakan kerjasama semua pihak kerana kita saring dan jika ada yang perhatian lebih, mereka akan dirujuk ke hospital berkaitan.

Siti Mariah (kiri) melawat reruai di Majlis Penutup Program Selangor Saring di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada Ahad.
Siti Mariah (kiri) melawat reruai di Majlis Penutup Program Selangor Saring di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada Ahad.

"Kami harap program ini dapat kembangkan pada tahun depan, malah ada ADUN yang meminta ia dilaksanakan dua kali setahun," ujar beliau.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup Program Selangor Saring di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Siti Mariah berkata, ujian kanser serviks dan pangkal rahim adalah pemeriksaan paling popular daripada pelbagai perkhidmatan yang disediakan.

Beliau berkata, kaedah pemeriksaan bagi kanser tersebut dikesan menerusi ujian calitan Virus Papiloma Manusia (HPV) yang turut diperakui oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Dulu kita pergi ke klinik untuk jalani saringan pap smear, tapi ia tidak popular dalam kalangan wanita kerana mungkin mereka malu.

"Jadi kita cadangkan ujian calitan HPV kerana ia lebih mudah dan tepat," katanya.