All Star Championship satukan sukan, dunia digital dan pelancongan

Abd Rahman (kiri) bersama pempengaruh dari India, Gulfishan (dua dari kiri) ketika All Star Championship 2026 di Ampang baru-baru ini.
Abd Rahman (kiri) bersama pempengaruh dari India, Gulfishan (dua dari kiri) ketika All Star Championship 2026 di Ampang baru-baru ini.
A
A
A

AMPANG - Gabungan sukan, dunia digital dan pelancongan menjadi tarikan utama All Star Championship 2026 yang menghimpunkan 34 pempengaruh dari lapan negara dalam kejohanan tinju di Hotel Flamingo di sini baru-baru ini.

Kejohanan itu menyaksikan 17 pertarungan yang menguji kekuatan fizikal, disiplin, keberanian dan ketahanan mental setiap peserta, sekali gus membuktikan potensi pempengaruh digital dalam memperluas tarikan sukan kepada khalayak antarabangsa.

Abd Rahman (dua dari kiri) bersama pempengaruh Indonesia, Kumala (tengah) yang berjaya menumpaskan pempengaruh Filipina, Altina (kanan) dalam aksi All Star Championship 2026 baru-baru ini.
Abd Rahman (dua dari kiri) bersama pempengaruh Indonesia, Kumala (tengah) yang berjaya menumpaskan pempengaruh Filipina, Altina (kanan) dalam aksi All Star Championship 2026 baru-baru ini.

Penganjur All Star Championship, Datuk Abd Rahman Soltan berkata, beliau berpuas hati dan bangga dengan komitmen serta semangat yang ditunjukkan semua pempengaruh dan petinju sepanjang kejohanan berlangsung.

Menurutnya, kejohanan itu bukan sekadar platform untuk menentukan pemenang di gelanggang, malah menjadi ruang bagi mengembangkan potensi pempengaruh digital dan menyokong usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan serta hab acara sukan bertaraf antarabangsa.

“Saya sangat berpuas hati dan bangga dengan semua petinju yang berani menyahut cabaran, memberikan persembahan terbaik dan menunjukkan semangat kesukanan sepanjang kejohanan.

“All Star Championship bukan sekadar tentang siapa menang atau kalah. Kita mahu membina platform yang memberikan peluang kepada pempengaruh untuk mencabar diri, mengembangkan potensi dan menggunakan pengaruh mereka untuk sesuatu yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata, gabungan sukan dengan dunia digital diyakini mampu membantu memperkenalkan Malaysia kepada lebih ramai khalayak antarabangsa menerusi kandungan digital, tarikan pelancongan dan pengalaman yang dikongsikan peserta.

Artikel Berkaitan:

Penganjuran itu turut menyokong usaha promosi pelancongan negara menerusi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), dengan kerjasama dan sokongan Tourism Malaysia serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Menurut Abd Rahman, penyertaan pempengaruh dari pelbagai negara membuka peluang untuk memperluas capaian promosi Malaysia melalui media sosial, sekali gus memperkenalkan kepelbagaian budaya, destinasi pelancongan dan pengalaman menarik yang ditawarkan negara kepada khalayak global.

“Dengan sokongan Tourism Malaysia dan MOTAC, kita melihat potensi besar untuk menggabungkan acara sukan dengan promosi pelancongan.

“Setiap pempengaruh mempunyai komuniti dan pengikut tersendiri, dan kandungan yang mereka hasilkan mampu membantu memperkenalkan Malaysia kepada pasaran yang lebih luas,” katanya.

Beliau menambah, platform itu diharap dapat menjadi sebahagian daripada usaha berterusan mempromosikan Malaysia, bukan sahaja sepanjang kempen VM2026, malah sebagai persediaan ke arah Tahun Melawat Malaysia 2027.

Mengulas perancangan masa depan, Abd Rahman berkata, pihaknya menyasarkan penganjuran lebih besar pada tahun hadapan, dengan penambahbaikan dari segi skala acara, penyertaan antarabangsa, pengalaman penonton dan peluang kerjasama strategik bersama rakan industri.

“Kita mahu All Star Championship terus berkembang dan memberikan impak yang lebih besar. Saya percaya dengan sokongan semua pihak, kita mampu menjadikan kejohanan ini lebih hebat pada tahun hadapan.

“Paling penting, kita mahu terus membuka peluang kepada bakat baharu, menghubungkan komuniti antarabangsa dan menggunakan kekuatan dunia digital untuk mempromosikan sukan serta pelancongan Malaysia, selari dengan aspirasi VM2026 dan persediaan menuju VM2027,” katanya.

Kejohanan itu turut mendapat sambutan menggalakkan apabila menarik kehadiran lebih 700 pengunjung, selain disiarkan secara langsung menerusi platform penstriman Tonton, sekali gus memperluas capaian All Star Championship 2026 kepada penonton di seluruh negara.

All Star Championship berharap dapat meneruskan momentum positif itu dengan memperkukuh gabungan sukan, kandungan digital dan pelancongan, sekali gus menjadikan platform berkenaan sebagai acara yang mampu menarik perhatian peminat sukan serta komuniti pempengaruh di peringkat serantau dan antarabangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!