Usaha galak pendaratan penyu di Pantai Chakar Hutan

Sebahagian sukarelawan terlibat membersihkan kawasan pantai sepanjang 1.4km yang menjadi lokasi pembiakan penyu di Pantai Chakar Hutan, Kerteh, di Kemaman.
Sebahagian sukarelawan terlibat membersihkan kawasan pantai sepanjang 1.4km yang menjadi lokasi pembiakan penyu di Pantai Chakar Hutan, Kerteh, di Kemaman.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 70 sukarelawan daripada tujuh agensi membersihkan kawasan pantai sepanjang 1.4km yang menjadi lokasi pendaratan penyu di Pantai Chakar Hutan, Kerteh, di Kemaman pada petang Sabtu.

Pengurus Tapak Projek Chakar Hutan dari Lang Tengah Turtle Watch, Wid Zuriana Sulaiman berkata, aktiviti membersihkan kawasan pesisir pantai memberi manfaat besar kerana ia membantu penyu mendarat untuk bertelur pada waktu malam.

Katanya, masyarakat perlu sedar bahawa tugas menjaga kebersihan tempat awam terutamanya pantai penting dan perlu dilakukan bersama bagi memastikan kesinambungan spesies hidupan terancam itu.

"Aktiviti membersihkan pantai dan aktiviti seumpamanya amat bermakna kerana membantu penyu untuk naik bertelur di pantai pada waktu malam.

"Jika dahulu, penyu terpaksa bertelur di sebalik sampah-sarap, kini dengan adanya pantai yang bersih, penyu dapat mendarat untuk bertelur dengan lebih aman," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Menurut Wid Zuriana, sebanyak 107kg sampah telah dikumpulkan menerusi program Hari Pembersihan Pesisir Pantai Antarabangsa 2022 (International Coastal Cleanup Day, ICC) yang diadakan di pantai berkenaan.

Katanya, kebanyakan sampah dikutip adalah sisa yang sukar untuk dikitar semula termasuk kaca, plastik sampah dan polisterin.

Jelas beliau, pada masa yang sama, ICC Day 2022 yang turut dijalankan kumpulan Lang Tengah Turtle Watch di Pulau Lang Tengah berjaya mengutip sebanyak 14kg sampah termasuk tin minuman, botol plastik dan sampah-sarap lain.

Artikel Berkaitan:

"Pada September setiap tahun, sukarelawan di seluruh dunia akan berkumpul dan bersama-sama menjalankan program pembersihan pesisir pantai.

"Kali ini, ICC Day 2022 dijalankan oleh kumpulan Lang Tengah Turtle Watch, bersama-sama dengan Geng Plastik Ija (GPI), Community Link-Yayasan CIMB, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Persatuan Khazanah Rakyat Ma'Daerah (MEKAR), Pertubuhan Perdana Nasional (PPN) dan Pusat Pendidikan Alam Sekitar, ecoCare," katanya.

Wid Zuriana berkata, sebanyak 120 ekor anak penyu agar baharu menetas dari Tapak Penetasan Chakar Hutan turut dilepaskan ke laut selepas aktiviti mengutip sampah selesai.

"Pelepasan anak penyu memberi kita harapan bahawa setiap usaha yang dijalankan untuk pemulihan alam amat bermakna dan memberi impak positif kepada alam," jelasnya.