Air pasang besar: Selangor ambil langkah segera kemungkinan banjir

Amirudin (kiri) ketika melawat projek naik taraf sistem saliran di Taman Melawis pada Sabtu.
Amirudin (kiri) ketika melawat projek naik taraf sistem saliran di Taman Melawis pada Sabtu.
A
A
A

KLANG - Kerajaan Selangor merangka beberapa langkah segera bagi mengatasi kemungkinan banjir melanda di daerah ini termasuk Kuala Selangor dan kawasan sekitarnya susulan fenomena air pasang besar bermula Ahad.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara tersebut dibuat berikutan jangkaan peningkatan paras air bertambah parah apabila berlaku air pasang besar berserta jumlah taburan hujan yang tinggi.

Menurutnya, antara langkah yang boleh diambil ialah menambah jumlah pam dan membersihkan longkang bagi mengelakkan sekatan dalam saliran.

"Kita sudah beri amaran kepada masyarakat berkenaan fenomena air pasang besar pada 11, 14 dan 15 September ini yang boleh mencapai ketinggian lebih daripada lima meter.

"Ini ketinggian yang tinggi, perlu diingat ketika 17 dan 18 Disember lalu tak sampai 5.4 meter pun, hanya pada 4.7 hingga 4.8 meter.

"Jadi mungkin (banjir) boleh berlaku, kita minta semua peka terutama di kawasan Klang, Kuala Selangor dan kawasan sekitarnya yang berpotensi berlaku banjir jika air pasang besar. Amaran ini sudah diberi mulai Jumaat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kerja naik taraf sistem saliran di Taman Melawis pada Sabtu.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, seorang Exco Kerajaan Selangor akan mewakilinya untuk menghadiri satu mesyuarat bagi membincangkan persediaan menghadapi banjir pada hujung tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, aset untuk operasi bantuan atau alatan di pusat pemindahan sementara (PPS) perlu diletakkan secara berpusat dan disarankan untuk diturunkan ke lapangan lebih awal menjelang Oktober atau November.

"Kelam-kabut yang berlaku pada peristiwa banjir besar (Disember tahun lalu) adalah pada dua atau tiga hari pertama kerana banyak kawasan dinaiki air selain lori tak dapat bawa barangan.

"Sebab itu ada sebahagian PPS tidak dapat berfungsi, ada orang berpindah ke tempat lain. Kali ini kita bersedia dan ada sedikit peruntukan untuk sekolah sebab tidak ada kemudahan yang baik," jelas beliau.

Pada Jumaat, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Klang mengingatkan penduduk di daerah ini agar peka dengan fenomena air pasang besar yang bakal melanda pada bulan ini hingga Disember depan.

Perkara tersebut dimaklumkan menerusi satu hantaran di Facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada Jumaat.

Menurut hantaran tersebut, fenomena air pasang besar terbabit dijangka berlaku pada ketinggian 5.5 meter bermula 11 hingga 14 September dan 27 hingga 29 September depan.