200 ekor ayam habis terjual dalam setengah jam

Orang ramai membeli barangan keperluan harian dengan harga di bawah pasaran pada program Jualan Murah 2022 #Keluarga Malaysia, DUN Pasir Pekan di Taybah Mart Paloh hari ini. - Foto Bernama
Orang ramai membeli barangan keperluan harian dengan harga di bawah pasaran pada program Jualan Murah 2022 #Keluarga Malaysia, DUN Pasir Pekan di Taybah Mart Paloh hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - Sebanyak 200 ekor ayam habis terjual dalam tempoh setengah jam pada Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) di Kampung Jerek dalam kawasan Dewan Undangan (DUN) Nenggiri, di sini hari ini.

Pemilik SMS Maju Solutions Sabariah Mohamed Sayuti, 41, berkata, ayam tersebut dijual pada harga diskaun iaitu RM7.50 sekilogram berbanding RM9.40 sekilogram pada hari biasa, bagaimanapun pihaknya mengehadkan hanya dua ekor bagi setiap pembeli.

"Selain ayam, 500 papan telur gred D juga habis dijual dalam tempoh kurang tiga jam program itu diadakan.

"Semua barangan keperluan asas yang dijual pada harga diskaun itu mendapat permintaan tinggi seperti beras, minyak masak dan sayur, tetapi paling laris adalah ayam dan telur,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Seorang pembeli, Norzaini Mamat, 34, berkata, selain bekalan makanan dan barangan keperluan dapur, PJMKM membolehkan beliau mendapatkan barangan keperluan untuk anak kecilnya khususnya lampin pakai buang yang turut diberi potongan harga.

"Biasanya saya akan datang ke sini selang tiga hari sekali bagi mendapatkan bekalan keperluan rumah, tetapi harga hari ini memang terasa sangat perbezaannya berbanding hari biasa,” katanya yang juga sempat membeli dua ekor ayam segar.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab Aziz Yusoff berkata, inisiatif jihad inflasi oleh kerajaan menerusi program berkenaan, secara tidak langsung dapat mengurangkan beban kos sara hidup rakyat yang terhimpit dengan inflasi yang dihadapi negara masa kini.

"Program seperti ini dilihat dapat memberi impak yang besar kepada penduduk luar bandar dan secara tidak langsung mengurangkan kos sara hidup mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, penganjuran PJMKM DUN Pasir Pekan, Tumpat di Wisma I'Baadurraham Taybah Mart, di sini turut mendapat sambutan baik oleh penduduk setempat.

Nor Nasrin Mat, 49, berkata, program itu sangat bagus kepada dirinya dan orang ramai yang berpendapatan bulanan tidak menentu untuk menyara keluarga.

"Sekarang ini harga barangan naik, jika bawa RM100 pergi pasar hanya boleh beli beberapa barang keperluan sahaja.

"Jika ada jualan murah ini, ia menjimatkan hampir RM30 atau RM40 berbanding perbelanjaan biasa. Jumlah penjimatan itu boleh gunakan untuk perkara lain,” katanya. - Bernama