MKN gerak program kesedaran keselamatan

Penduduk setempat yang menyertai sukan rakyat di Karnival Keselamatan Rakyat di Salor, Kota Bharu pada Sabtu. Gambar kecil: Jefny
Penduduk setempat yang menyertai sukan rakyat di Karnival Keselamatan Rakyat di Salor, Kota Bharu pada Sabtu. Gambar kecil: Jefny
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan menggerakkan lebih 30 program berkait kesedaran keselamatan negara di negeri ini bagi menjamin keamanan.

Pengarah MKN Kelantan, Jefny Mohammad berkata, program diadakan dengan kerjasama pelbagai agensi yang berkaitan bermula pada Januari lalu hingga kini.

Menurutnya, setakat ini keadaan negara dalam situasi aman damai namun MKN tidak mahu rakyat leka hingga mengabaikan segala aspek keselamatan dalam negara.

“Amat penting kesedaran berkaitan keselamatan negara merangkumi elemen seperti keagamaan, politik dan sosial.

“Kita lihat misalnya dalam talian ada segelintir pihak yang bercanggah pandangan dalam isu agama dan sebagainya, kita tidak mahu perkara itu sampai ke tahap mengancam keselamatan negara.

“Jadi, adalah tanggungjawab semua rakyat bersama dengan MKN untuk memastikan negara kekal aman,” katanya ketika ditemui pada Karnival Keselamatan Rakyat di Salor pada Sabtu.

Beliau berkata, MKN yang berada di negeri bersempadanan dengan negara lain seperti di Kelantan juga akan memberi fokus kepada pemantauan keadaan penyeludupan di sempadan.

“Kami melihat penyeludupan barangan kawalan seperti diesel dan minyak masak paket akan memberi ancaman kepada ekonomi negara dan itu yang kita mahu banteras dengan kerjasama termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Kastam Diraja Malaysia Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini lebih 10 operasi bersepadu dijalankan di lokasi seperti di Lojing, Gua Musang, Tumpat, Pasir Mas dan lapangan terbang bagi memantau isu-isu berkaitan penyeludupan senjata api dari negara jiran,” katanya.