Tiada keperluan ubah dasar libat aset keselamatan negara

Mohamad (tiga dari kiri) meninjau persiapan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA'23) di Pusat Pameran Antabangsa Mahsuri (MIEC) hari ini. - Foto Bernama
Mohamad (tiga dari kiri) meninjau persiapan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA'23) di Pusat Pameran Antabangsa Mahsuri (MIEC) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

LANGKAWI - Tiada keperluan untuk mengubah dasar membabitkan pembinaan aset-aset keselamatan negara, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Susulan isu berkaitan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS), beliau berkata, Kementerian Pertahanan akan memfokuskan kepada pemerkasaan tadbir urus bagi memastikan perkara tersebut tidak lagi berulang.

Katanya, isu tersebut bukanlah masalah berkaitan dasar sebaliknya lebih kepada masalah pengurusan.

"(Isu itu) ia lebih kepada masalah pengurusan jadi pada masa sekarang setakat hari ini belum ada keperluan untuk mengubah dasar tersebut, yang penting pengurusan, memperkasa pengurusan adalah objektif kami.

"Dasar sedia ada akan diteruskan," katanya pada sidang media selepas meninjau tapak pameran segmen maritim sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA '23) di Resort World Langkawi di sini hari ini.

Katanya, dasar sedia ada akan diteruskan dan dijayakan dengan baik dan industri pertahanan tempatan juga tidak perlu berasa was-was terhadap dasar yang dibawa oleh kerajaan.

Mengulas mengenai cadangan supaya kerajaan menggunakan khidmat limbungan swasta berbanding syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi pembinaan aset perkapalan, Mohamad berkata, antara faktor yang dinilai ialah rekod prestasi dan mengikut kebolehan syarikat dalam menjayakan projek yang diberi.

"Kita ada juga bagi kepada limbungan swasta...kita akan beri mengikut kebolehan dan kemampuan syarikat-syarikat limbungan kapal ini yang ternyata dah ada rekod prestasi, sekali lagi saya tekankan di sini kita tidak mahu nanti ada masalah bila kita dah meletakkan kepercayaan dan aset kita tidak dapat disiapkan," katanya. - Bernama