Teluk Senangin lokasi pertama kempen Laut Bebas Plastik

Razman (kanan) ketika menyertai aktiviti gotong-royong di Pantai Teluk Senangin. - Foto Jabatan Perikanan Perak
Razman (kanan) ketika menyertai aktiviti gotong-royong di Pantai Teluk Senangin. - Foto Jabatan Perikanan Perak
A
A
A

LUMUT - Pantai Teluk Senangin dipilih sebagai tapak pertama pelaksanaan kempen Laut Bebas Plastik peringkat Negeri Perak.

Pemilihan pantai peranginan itu bertepatan dalam usaha kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan untuk menjaga kelestarian alam sekitar sebagai lokasi tumpuan orang ramai bercuti setiap hujung minggu.

Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, bahan buangan marin (marine debris) yang didominasi oleh plastik menjadi isu persekitaran global yang mengancam biodiversiti marin dan pesisir pantai termasuk di Teluk Senangin.

Menurutnya, kajian dijalankan menunjukkan, pencemaran plastik menggugat rantaian makanan laut negara kepada tahap yang membimbangkan.

"Jabatan Perikanan telah merangka dan melaksanakan pendekatan holistik melalui kempen ini untuk mengurangkan pencemaran mikroplastik dengan menghentikan pertambahan plastik ke dalam laut.

"Pencemaran mikroplastik ini adalah kesan daripada sampah plastik yang memasuki ke sistem sungai dan ke laut mengikut arus dan seterusnya memecah membentuk saiz kurang dari 1 milimeter.

"Jadi di pihak kerajaan negeri, kita mengharapkan agar kempen ini diteruskan di Perak bagi meningkatkan lagi kesedaran masyarakat mengenai bahaya ancaman pencemaran plastik terutama mikroplastik demi pengekalan ekosistem laut negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kempen Laut Bebas Plastik@Save Our Sea dan Program Melabuh Unjam Jabatan Perikanan Negeri Perak di tapak myKomuniti Perikanan Teluk Senangin di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Dalam program itu, sebanyak 100 unjam jenis gelung dilabuhkan di perairan Teluk Senangin bagi mewujudkan persekitaran baharu habitat ikan untuk pembiakan serta memperkayakan sumber perikanan.

Razman (tengah) bersama barisan peserta yang menyertai Kempen Laut Bebas Plastik peringkat Negeri Perak. - Foto Jabatan Perikanan Perak
Razman (tengah) bersama barisan peserta yang menyertai Kempen Laut Bebas Plastik peringkat Negeri Perak. - Foto Jabatan Perikanan Perak

Razman berkata, pembiakan ikan di kawasan unjam-unjam itu secara tidak langsung membolehkan nelayan di kawasan Teluk Senangin dan sekitarnya mendapat manfaat.

"Pemuliharaan sumber perikanan di perairan Teluk Senangin sebagai kawasan penangkapan ikan dan aktiviti agro pelancongan amatlah penting.

"Langkah ini perlu dijayakan semua pihak demi tanggungjawab menjaga habitat, sumber ikan dan keselamatan makanan dengan pengurusan yang mapan melalui kelestarian sumber dan peningkatan taraf hidup nelayan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Perak, Noraishah Hashim berkata, penggunaan single use plastic atau plastik sekali guna seperti botol air mineral dalam aktiviti harian telah menyumbang kepada masalah tidak mesra alam iaitu plastik tidak boleh dilupuskan secara biologi (biodegradable).

Katanya, sebagai contoh, botol air minuman plastik yang terapung di lautan boleh bertahan sehingga 500 tahun sebelum terpecah kepada saiz yang lebih kecil dikenali sebagai mikroplastik.

"Melalui aktiviti Beach Clean Up, kita berjaya membersihkan sampah plastik yang bersaiz besar tetapi ancaman mikroplastik masih lagi wujud termasuklah di sepanjang pantai ini," katanya.