Tiada rundingan rasmi antara Pas, UMNO: Muhyiddin

Muhyiddin - Foto Bernama
Muhyiddin - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pas tidak melakukan sebarang rundingan rasmi bersama UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Pas dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan itu yang diadakan pada malam Rabu.

“Majlis Tertinggi PN mengambil maklum penjelasan Pas bahawa tiada rundingan rasmi dibuat antara Pas dan UMNO bagi menghadapi PRU15.

“Perbincangan adalah secara tidak rasmi dan tidak melibatkan pucuk pimpinan parti. Tiada apa-apa kemajuan dicapai daripada perbincangan ini setelah UMNO membuat pendirian untuk tidak bekerjasama dengan Pas dalam PRU15.

“Pas juga mengulangi pendirian untuk memperkukuhkan kerjasama dengan parti-parti anggota dalam PN,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, mesyuarat yang dipengerusikannya itu juga telah meluluskan pelantikan ketua kawasan bagi negeri Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang.

Pada masa sama, beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, Majlis Tertinggi PN turut membuat ketetapan bagi memberi tumpuan kepada usaha membela nasib rakyat khususnya golongan miskin dan berpendapatan rendah bagi menghadapi inflasi dan keadaan tekanan ekonomi.

“Mesyuarat mengambil maklum bahawa kumpulan B40 telah meningkat menjadi kumpulan B60 dan penyediaan bantuan bagi kumpulan pendapatan terkebawah ini mesti diberikan tumpuan oleh kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“Bagi membantu meringankan beban kumpulan ini, PN mengarahkan seluruh jentera parti di semua peringkat agar melaksanakan program Prihatin Rakyat di seluruh negara bagi menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya.