Hanya UMNO boleh cakap pasal parti bukan Pas: Shahril Sufian

Gambar kecil: Tangkap layar Facebook Shahril Sufian.
Gambar kecil: Tangkap layar Facebook Shahril Sufian.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menyatakan bahawa sebarang usaha untuk memecahkan parti tersebut termasuk perbincangan belakang tadbir akan menemui kegagalan.

Menurutnya, apa sahaja keputusan besar diputuskan akan melalui perbincangan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang turut membabitkan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ujar Shahril, tidak mungkin segala keputusan yang dikeluarkan dalam parti tersebut akan mengenepikan pandangan Presiden.

“Yang boleh bercakap untuk UMNO tentulah pemimpin UMNO bukannya Pas. Jadi Presiden UMNO la yang boleh bercakap bagi pihak UMNO. Takkan Presiden Pas pula lebih arif hal UMNO dan mengajar ahli UMNO. Itu bukan kerja kawan,” kata Shahril dalam satu kenyataan di Facebook pada Sabtu.

Shahril berkata demikian sebagai membidas dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa terdapat rundingan membabitkan akar umbi partinya dan UMNO tanpa melibatkan Ahmad Zahid yang dianggap tidak memberi kesan serta pengaruh besar.

Menurut Abdul Hadi, keputusan Ahmad Zahid untuk menjadikan UMNO terus bergerak solo hanyalah keputusan bersifat peribadi.

Dalam pada itu Shahril mengulas, partinya sedaya upaya mencapai kerjasama yang baik dengan Pas.

“Semenjak PAU 2020 lagi parti UMNO sudah berusaha untuk teruskan kerjasama bersama Pas. Sehingga di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, permintaan UMNO hanya untuk Pas menggunakan logo sendiri,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, segala jasa baik UMNO terhadap parti Islam yang mempunyai sokongan agak dominan itu hanya dibalas dengan artikel-artikel sinis pimpinannya sejak kebelakangan ini.

Pada masa yang sama, Shahril sekali lagi menegaskan bahawa UMNO tidaklah mencari musuh namun pimpinan Pas menurutnya seakan-akan cuba membuka jurang di antara kedua-dua parti berkenaan.