Najib hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen

Hassan
Hassan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Harun wajar mengkaji semula keputusannya tentang kelayakan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai seorang Ahli Parlimen Pekan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, jika merujuk kepada Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan amat jelas bahawa Najib telah hilang kelayakan menjadi ahli Parlimen.

Beliau yang juga anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Kebebasan Asasi dan Hak-Hak di Bawah Perlembagaan berkata, kehilangan kelayakan Najib sebagai ahli Parlimen adalah berdasarkan empat syarat mengikut Perkara 48(1)(e) itu.

Jelasnya, empat syarat ialah apabila seseorang itu sudah didapati bersalah oleh mahkamah Persekutuan, dihukum penjara tidak kurang satu tahun, didenda tidak kurang RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan bebas.

"Sehingga hari ini Najib tidak mendapat pengampunan bebas. Keputusan Mahkamah Persekutuan itu adalah keputusan terakhir dalam sistem mahkamah di Malaysia. Tidak ada mahkamah yang lebih tinggi lagi daripada Mahkamah Persekutuan dalam sistem perundangan di Malaysia.

"Walaupun Najib ada memfailkan permohonan pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong tetapi prosiding pengampunan diraja itu belum didengar. Lembaga Pengampunan Diraja bukannya mahkamah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pengampunan Najib oleh Yang di-Pertuan Agong mesti dibuat atas nasihat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di bawah Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri.

"Daripada segi undang-undang, sabitan kesalahan Najib dalam pertuduhan dalam Kes SRC International adalah kekal. Hukuman Penjara 12 tahun dan denda RM210 juta adalah berkuat kuasa sekarang.

Artikel Berkaitan:

"Tidak ada penggantungan perlaksanaan diberikan Mahkamah Persekutuan kepada Najib. Ini bermakna semua syarat kehilangan kelayakan sebagai ahli Parlimen ada pada Najib sekarang. Agak pelik dan aneh Azhar memutuskan bahawa Najib masih kekal sebagai ahli Parlimen Pekan," ujarnya yang juga seorang peguam.

Hassan berkata, memang benar Najib sudah memfailkan prosiding semakan di Mahkamah Persekutuan untuk mendengar permohonan Najib agar keputusan lima orang hakim diketuai Ketua Hakim Negara disemak oleh corum hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang lain.

Namun permohonan semakan oleh Najib itu katanya, bukan satu penggantungan pelaksanaan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta.

"Tidak ada dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa jika seseorang ahli Parlimen merayu kepada Lembaga Pengampunan Diraja atau memohon semakan mahkamah maka kelayakannya sebagai ahli Parlimen tetap kekal.

"Sebaliknya apa yang dinyatakan dengan jelas di bawah Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan ialah jika pesalah itu yang telah dijatuhi hukuman penjara tidak kurang satu tahun atau denda tidak kurang RM2,000 dan dia tidak mendapat pengampunan bebas maka dia hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen," tegasnya.