KASA digesa ubah kedudukan tolok hujan

Penduduk berharap benteng lebih kukuh dibina di sepanjang Sungai Kupang bagi mengelakkan kejadian banjir berulang. Gambar kecil: Muhammad Sanusi
Penduduk berharap benteng lebih kukuh dibina di sepanjang Sungai Kupang bagi mengelakkan kejadian banjir berulang. Gambar kecil: Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA) digesa segera memindahkan tolok hujan ke puncak Gunung Inas bagi mendapatkan anggaran jumlah hujan yang lebih tepat.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ketika ini tolok hujan dipasang di kaki gunung dan menyukarkan bacaan hujan yang tepat.

Menurutnya, proses itu perlu dilaksanakan memandangkan kejadian banjir lumpur kerap berulang dan menjejaskan penduduk di kawasan jajaran Sungai Kupang.

"Oleh kerana tolok hujan diletakkan di kaki gunung, maka jumlah hujan yang berlaku di pergunungan tidak dapat dianggarkan.

"Jadi saya harap selepas ini jabatan berkaitan iaitu KASA kena pindahkan tolok air dan kena letak atas, baharu kita dapat tahu jumlah hujan yang tepat," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bendera Kepada Kontinjen Kedah Sempena Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Dewan Seri Mentaloon pada Khamis.

Muhammad Sanusi berkata, proses memindahkan pasir di Sungai Kupang di Lata Chelak, Kampung Iboi juga dilaksanakan dengan lebih pantas selepas berlakunya banjir lumpur kali ketiga pada Selasa.

"Ia bagi mengelak timbunan pasir di sungai itu dihanyutkan semula ke sungai selepas hujan.

"Saya sudah arahkan Pejabat Tanah dan Daerah Baling menyegerakan kerja-kerja mengangkut bertan-tan pasir di sepanjang tebing Sungai Kupang di Kampung Iboi," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, sebelum ini kedalaman sungai itu tidak kurang 3.04 meter dari jalan tetapi sekarang sudah hampir mencapai paras jalan.

"Saya minta mereka jangan kira waktu kerja, bagilah depa kerja 24 jam bawa keluar semua benda itu. Baharulah boleh didalamkan sungai," ujarnya.

Mengulas trauma yang sedang dihadapi mangsa banjir, Muhammad Sanusi berkata, sebanyak 17 rumah yang terletak dalam zon kuning berisiko tinggi akan dipindahkan ke kampung yang lebih selamat selepas proses pengambilan semula tanah selesai.

"Kita akan bina rumah untuk penduduk yang tinggal di kawasan yang berisiko itu, semua penduduk dari zon kuning akan dipindahkan ke kampung itu," kata beliau.