Judi: 545 individu ditahan dalam tempoh lapan bulan

Ruslan (tengah) pada sidang akhbar selepas merasmikan Balai Polis Lenggeng pada Khamis.
Ruslan (tengah) pada sidang akhbar selepas merasmikan Balai Polis Lenggeng pada Khamis.
A
A
A

NILAI - Seramai 545 individu yang terlibat dengan aktiviti perjudian di Negeri Sembilan telah ditahan dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid berkata, ia melibatkan 440 serbuan yang dilakukan dalam tempoh sama.

"Daripada 545 individu yang telah ditangkap, 276 daripadanya sudah dituduh di mahkamah.

"Dalam serbuan dilakukan, polis turut merampas pelbagai peralatan mesin judi yang dianggarkan bernilai RM32,408 selain rampasan wang tunai bernilai RM113,408," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Balai Polis Lenggeng pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan pemilik sebuah kumpulan Telegram yang mengatakan premis judi dalam talian semakin aktif beroperasi di daerah Seremban.

Dalam pada itu, Ruslan berkata, pembukaan sempadan selain negara yang kini telah memasuki fasa peralihan endemik menyebabkan ada pihak yang mengambil kesempatan mewujudkan premis judi haram.

"Sebenarnya aktiviti perjudian ini akan berterusan bukanlah selagi ada permintaan.

"Namun kami sentiasa membuat serbuan dan tidak putus asa dalam membasmi kegiatan negatif ini. Jadi saya mengalu-alukan sebarang perkongsian maklumat mengenai kegiatan ini kepada pihak polis," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai penularan beberapa isu membabitkan kewujudan pusat judi di negeri ini di media sosial, beliau berkata, pihaknya akan melakukan siasatan sama ada perkara yang dibangkitkan adalah benar atau sebaliknya supaya tiada persepsi negatif kepada polis.

"Pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan saya sendiri meminta semua ketua polis daerah supaya segera memberi tindak balas mengenai isu berbangkit yang tular di media sosial," katanya.