Pahang laksana pelbagai inisiatif pembangunan mampan: Wan Rosdy

Shahaniza (tiga dari kiri) mewakili Wan Rosdy bagi merasmikan Majlis Penutupan MPCCsustAward22 di Dewan Sri Mahkota, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Semambu pada Khamis.
Shahaniza (tiga dari kiri) mewakili Wan Rosdy bagi merasmikan Majlis Penutupan MPCCsustAward22 di Dewan Sri Mahkota, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Semambu pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam mengurus pembangunan mampan (SDG) dan efektif bagi menangani isu berkaitan alam sekitar di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dasar dan inisiatif terbabit sudah dilaksanakan dan dikuatkuasakan secara aktif di semua peringkat agensi kerajaan terutamanya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, antara strategi yang telah dilaksanakan seperti zon rendah karbon pusat bandar Kuantan, inisiatif sempadan hijau, penyediaan loji jana kuasa solar dan hari tanpa kenderaan.

"Usaha ini sebenarnya dapat mempercepatkan pembangunan dalam sekitar ekonomi hijau, penghasilan tenaga mampan dan transformasi sektor air yang perlu kekal menjadi teras kepada pembangunan sosio-ekonomi negara.

"Jadi, segala keputusan yang diambil dalam tadbir urus negeri selepas ini perlu mengambil kira prinsip alam semula jadi dan sosial," katanya.

Teks ucapan Wan Rosdy dibacakan Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin dalam Majlis penutupan 'Malaysian Polytecnic and Community College Sustainable Award 2022' (MPCCsustAward22) di Dewan Sri Mahkota, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Semambu pada Khamis.

Sebanyak 128 penyertaan terdiri daripada 22 Politeknik dan 13 Kolej Komuniti di seluruh Malaysia.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Zubaidah Aman.

Artikel Berkaitan:

Wan Rosdy memaklumkan Pahang juga telah meluluskan inisiatif sempadan hijau pada tahun lalu melibatkan sempadan negeri jiran seperti Terengganu, Kelantan, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor Bharu.

Tambahnya, usaha itu sebagai menjunjung titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan kawasan sempadan Pahang dengan negeri yang terlibat akan terus terjamin kelestarian alam sekitarnya," tegas beliau.

Selain itu, Wan Rosdy berkata, Pahang juga akan menyediakan beberapa loji jana kuasa solar sebagai usaha mempromosikan teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.

Jelasnya, antara salah satu tenaga boleh diperbaharui terbesar di negeri ini ialah loji jana kuasa biogas di Bera.

"Itu antara usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Pahang, saya yakin dan percaya pelbagai inisiatif dan program yang bakal dilaksanakan oleh pelbagai agensi serta masyarakat adalah sebagai satu usaha memastikan persekitaran lestari pada masa akan datang," kata beliau.

Mengulas program MPCCsustAward22, Wan Rosdy berkata, program itu memberikan manfaat dalam usaha mencapai persekitaran hijau dan mampan, sekali gus menjadi wadah dalam usaha mencapai matlamat pembangunan mampan 2020.