Menteri harus sensitif kendalikan kes penderaan seksual

Keratan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad terhadap kes pelakon remaja yang didakwa pernah menjadi mangsa penderaan seksual oleh bapanya sendiri. (Gambar kecil : Nurhidayah)
Keratan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad terhadap kes pelakon remaja yang didakwa pernah menjadi mangsa penderaan seksual oleh bapanya sendiri. (Gambar kecil : Nurhidayah)
A
A
A

GEORGETOWN - Wanita PKR Pulau Pinang menyelar kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang menggunakan ayat seperti ‘membuka aib’ apabila seorang pelakon remaja mendedahkan pernah menjadi mangsa penderaan seksual oleh bapanya sendiri.

Ketuanya, Nurhidayah Che Ros berkata, menteri terbabit harus bijak dan sensitif dalam penggunaan bahasa agar tidak memesongkan pandangan orang ramai kepada agama Islam dalam mengendalikan kes-kes sedemikian.

Menurutnya, kenyataan Idris itu dikhuatiri akan membuatkan lebih ramai mangsa pencabulan atau penderaan seksual lebih takut untuk mendapatkan keadilan.

"Saya menyokong adalah lebih baik bagi mangsa membuat laporan polis segera bagi mendapatkan keadilan yang sewajarnya namun ayat seperti ‘membuka aib’ tidak sesuai untuk digunakan sama ada beliau bermaksud membuka aib mangsa mahupun si pelaku.

"Beliau harus lebih sensitif agar tidak memberikan tanggapan bahawa agama Islam atau kerajaan Malaysia seakan ‘menempelak’ mangsa penderaan seksual yang berani tampil bersuara," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, Nurhidayah turut menggesa agar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun supaya membangkitkan masalah ini di Parlimen bagi mengenakan tindakan yang lebih tegas serta mencadangkan langkah-langkah yang lebih proaktif untuk menangani isu penderaan seksual.

Katanya, sebagai menteri, beliau harus lebih proaktif dalam mengendalikan masalah berkaitan wanita, keluarga dan masyarakat bukannya hanya mengeluarkan komen ketika sesuatu permasalahan terjadi.

"Rina harus sedar jawatan yang disandang mempunyai tanggungjawab yang sangat besar untuk berbakti kepada rakyat, bukan hanya selesa menjulang kedudukan semata-mata.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat agar bangkit, buka mata dan menjalankan kerja-kerjanya agar masyarakat kita dapat jalani kehidupan dengan selamat dan sejahtera," katanya.