Tiga jabatan PDRM buru suspek ugut Ketua Polis Pulau Pinang

Acryl Sani
Acryl Sani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis masih mengesan suspek yang menghantar surat ugutan kepada Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan operasi melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik sedang giat dijalankan untuk mengesan suspek yang terlibat.

"Kita telah menerima satu laporan polis mengenai sepucuk surat amaran dan ugutan yang dialamatkan kepada Kok Chin di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.

"Surat layang tersebut yang dimasukkan di dalam sampul surat, telah diterima pada Khamis lalu melalui perkhidmatan Pos Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Acryl Sani berkata, pemeriksaan awal terhadap sampul surat yang dikirim itu mendapati terdapat enam keping replika wang kertas 'duit mayat' dan sekeping nota berbentuk amaran agar Polis Kontinjen Pulau Pinang menghentikan tindakan agresif memerangi sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen di negeri berkenaan.

"Selain itu, turut dinyatakan melalui surat layang tersebut nota berunsur ugutan jenayah terhadap Ketua Polis Pulau Pinang dan akan membakar kedai serta balai polis sekiranya amaran berkenaan tidak diendahkan," katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah melalui suatu komunikasi tanpa nama.

"Kita tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengugut dan mengancam pegawai polis dalam menjalankan tugas memerangi kegiatan haram serta jenayah di negara ini," katanya.