Akses pornografi antara punca jenayah seksual kanak-kanak

Siti Zailah (dua dari kiri) dan Said (kiri) bertanya khabar pelajar yang menyertai Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-kanak pada Selasa.
Siti Zailah (dua dari kiri) dan Said (kiri) bertanya khabar pelajar yang menyertai Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-kanak pada Selasa.
A
A
A

PASIR MAS - Eksploitasi seksual secara dalam talian terutama kesalahan melibatkan pornografi terhadap kanak-kanak antara faktor berlakunya jenayah seksual terhadap golongan berkenaan di negara ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusof berkata, penggunaan gajet dan telefon pintar yang lebih meluas memudahkan akses kepada komunikasi berunsur lucah.

Menurut beliau, kesibukan ibu bapa mengurus ekonomi keluarga juga antara faktor mereka tidak mengawal penggunaan internet sehingga sembilan jam oleh kanak-kanak.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 1,348 kes kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak bermula Januari hingga Jun 2022 tahun ini," katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-kanak di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Kebajikan Masyarakat negeri, Said Sidup dan Ketua Jajahan Pasir Mas, Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas, Hazmi Abdul Hamid.

Siti Zailah turut memaklumkan, kes rogol antara yang tertinggi iaitu 641 kes atau 47.6 peratus dan rogol berkumpulan 47 kes atau 3.5 peratus.

"Turut direkodkan ialah kes sumbang mahram 127 (9.4 peratus) selain seks luar tabii iaitu 95 kes (tujuh peratus) dan 438 (35.5 peratus) untuk kes cabul.

Artikel Berkaitan:

"Kes penderaan kanak-kanak yang direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seluruh negara pula 1,055 kes dalam tempoh sama," ujar beliau.

Katanya, 578 kes atau 54.8 peratus penderaan fizikal turut dilaporkan manakala penderaan seksual 417 kes (39.6 peratus) dan penderaan emosi pula 60 kes (5.6 peratus).

"Daripada jumlah itu, 706 kes melibatkan kanak-kanak perempuan dan 349 kes kanak-kanak lelaki," katanya.

Siti Zailah memberitahu, Majlis Perwakilan Kanak-kanak (MPKK) ditubuhkan bagi membantu menyelesaikan kes penderaan selain berperanan melaksanakan program advokasi berkaitan hak kanak-kanak disertai mereka yang berusia antara 14 hingga 17 tahun.

"Komitmen tinggi komuniti setempat di setiap mukim serta program Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap juga diharap mampu mengubah pemikiran kanak-kanak terhadap bahaya jenayah seksual dan pornografi.

"Kita mahu kempen ini boleh meningkatkan kefahaman kanak-kanak berkaitan penggunaan media sosial secara bijak dan selamat," katanya.