Melayu: Antara identiti dan digniti

A
A
A

KRISIS Tabung Haji, Felda dan banyak lagi agensi serta syarikat milik kerajaan (GLC) memberi gambaran buruk terhadap bangsa Melayu dan agama Islam.

Ini adalah kerana boleh dikatakan semua jabatan, agensi dan GLC diurus dan ditadbir oleh orang Melayu. Bila Melayu tentulah Islam.

Malah ramai orang Melayu yang mengurus dan mentadbir agensi-agensi awam, dulu dan sekarang, mempamerkan keislaman yang luar biasa yang boleh dilihat daripada tubuh badan dan pakaian mereka.

Tetapi apa yang mereka lakukan dan tinggalkan tidak mencerminkan sifat mereka sebagai pemimpin, pentadbir dan mengurus berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Sebaliknya mereka meninggalkan pentadbiran dan pengurusan yang kucar-kacir yang membebankan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) dan menyukarkan kehidupan rakyat jelata.

Dalam kes perbicaraan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bermula 3 April lepas, kita sudah dengar macam mana pada masa rakyat jelata dilanda banjir besar pada tahun 2014, tertuduh, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, yang waktu itu menjadi Perdana Menteri, berfoya-foya di Hawaii, Amerika Syarikat.

Kita dengar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dibagi tahu bagaimana di sebuah butik mewah sahaja Najib belanja AS$130,625 atau bersamaan kira-kira RM522,500 pada kadar tukaran hari untuk membeli-belah.

Najib sedang dibicarakan atas tuduhan menerima RM42 juta sebagai suapan daripada anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd yang masuk ke dalam akaun peribadinya AmIslamic Bank Bhd dari tahun 2011 hingga 2015.

Artikel Berkaitan:

Yang menyedihkan lagi ialah punca duit itu adalah Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP. KWAP ini adalah tabung pencen kakitangan awam. SRC International Sdn Bhd telah pinjam RM4.4 bilion daripada KWAP kononnya untuk buka lombong arang batu di Mongolia. Mongolia ini adalah negara dari mana mendiang Altantuya Shaariibuu datang. Tapi yang kita tahu tidak ada lombong arang batu yang dibuka.

Najib hanyalah salah seorang daripada ramai yang sudah dan akan dihadapkan ke muka pengadilan kerana pelbagai tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan duit haram.

Banyak daripada mereka ini mempamerkan identiti Islam yang luar biasa tetapi tidak langsung mencerminkan harga diri yang tinggi sebagai seorang Muslim.

Justeru saya amat tertarik apabila seorang ahli politik muda PH berbangsa Melayu bercakap tentang identiti dan digniti – jati diri dan harga diri - dalam konteks membangunkan ekonomi kumpulan 40 terkebawah atau kini dikenali sebagai B40.

Idea beliau berkait terus dengan apa yang saya sebutkan di atas dan daripada apa yang sudah kita ketahui berkenaan 1MDB, Tabung Haji, Felda dan banyak lagi.

Natijah yang boleh kita simpulkan adalah untuk satu jangka masa kira-kira 10 tahun pentadbiran dan pengurusan sektor awam yang diterajui oleh orang Melayu telah hilang integriti, kewibawaan, harga diri dan hati kecil.

Ia bertukar menjadi apa yang dikenali secara popular sebagai duit tunai itu raja atau “cash is king”.

Ambil contoh Tabung Haji. Perlembagaannya dengan jelas mengatakan ia tidak boleh membayar hibah kepada penyimpan kalau nilai harta lebih rendah daripada hutang.

Tetapi pengurusannya yang dikepalai oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional Baling, Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim, telah melanggar norma perakaunan semata-mata untuk menunjukkan prestasi yang baik dan membayar hibah tinggi sedangkan Tabung Haji sudah pun berada dalam defisit.

Kemudian mereka buat bermacam-macam pelaburan di dalam dan luar negara dengan membeli atau mewujudkan harta yang tidak menjana keuntungan malah rugi dan nilainya susut hingga tidak tinggal apa-apa.

Harta yang tidak bernilai atau yang rugi inilah yang dipindahkan kepada syarikat tujuan khas (SPV) dan digantikan dengan bon syariah atau sukuk. Itu pun ada lagi penjual bangsa dan agama yang cuba memesongkan fakta dan menipu rakyat jelata. Hal semacam ini mungkin nampak kecil atau tidak bermakna bagi orang biasa.

Malah banyak orang Islam Malaysia yang bersikap kalau orang bagi kita terima sajalah. Sedangkan kita tidak putus-putus diingatkan dan dibagi amaran keras oleh para agamawan agar berhati-hati dengan sumber pendapatan dan dengan apa yang kita bagi anak bini kita makan.

Dengan pembersihan buku kira-kira Tabung Haji itu, maka ini mampu mengisytiharkan sedikit hibah iaitu 1.25 peratus.

Lepas itu Felda pula. Bukan saja masalah harga buah kelapa sawit yang rendah dan hutang peneroka yang tinggi tetapi kedudukan kewangan Felda pun lemah, khususnya sejak pengapungan asetnya melalui Felda Global Ventures Bhd (FGV).

Suka tidak suka kerajaan baharu PH terpaksa menyelesaikan masalah ini. Berbilion ringgit telah dan akan diperuntukkan bagi menyelamatkan Tabung Haji, Felda dan banyak lagi.

Serentak itu maruah, integriti dan digniti bangsa Melayu dan agama Islam menjadi bahan pertikaian dan persendaan.

Maaf cakaplah kalau saya kata, tidak perlulah orang Melayu terus bermimpi dan berkhayal dengan slogan ketuanan Melayu dan keagungan Islam kalau orang Melayu sendiri membutakan mata terhadap pengkhianatan dan kemungkaran atas nama agama, bangsa dan negara.

Kalau orang Melayu masih pedulikan bangsa dan agama mereka, eloklah mereka mula berfikir secara rasional mengenai identiti dan jati diri yang disertai oleh digniti dan harga diri.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin Tokoh Wartawan Negara