Jumlah anggota polis di Negeri Sembilan perlu ditambah

Ruslan menanam pokok kedondong sebagai simbolik perasmian Balai Polis Lenggeng.
Ruslan menanam pokok kedondong sebagai simbolik perasmian Balai Polis Lenggeng.
A
A
A

NILAI - Beberapa balai polis di Negeri Sembilan terutama di kawasan luar bandar dan kawasan yang sedang membangun perlu ditambah baik dari segi jumlah keanggotaan dan penjawatan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid berkata, perkara itu sudah berada dalam makluman pengurusan tertinggi Bukit Aman dan kajian telah dibuat di seluruh negara.

"Beberapa kawasan di Negeri Sembilan seperti Nilai, Seremban dan Port Dickson menerima tempias pembangunan di Lembah Klang menyebabkan banyak kawasan penempatan baharu yang wujud sekali gus meningkatkan jumlah penduduk.

"Balai Polis Lenggeng misalnya telah dibina pada tahun 1930 dan merupakan antara balai tertua di Negeri Sembilan.

"Jadi sudah tiba masanya ia ditambah baik dari jumlah anggota dan bangunan lebih-lebih lagi kawasan di sekitar Lenggeng sedang membangun dengan pertambahan penduduk sehingga 12,700 orang," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Balai Polis Lenggeng di sini pada Khamis.

Menurutnya, kekuatan semasa Balai Polis Lenggeng ketika ini adalah 20 anggota dan keadaan itu sekali gus memberi cabaran dalam melaksanakan tugas menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, semua Ketua Polis Daerah diminta siasat dan memberi maklum segera terhadap apa saja isu di bawah bidang kuasa polis yang tular di media sosial.

"Saya minta semua Ketua Polis Daerah beri respon apa saja perkara berbangkit di media sosial supaya masyarakat tidak membuat spekulasi.

Artikel Berkaitan:

"Ia juga bagi mengelakkan persepsi negatif masyarakat terhadap polis," katanya.