XP Power rancakkan pembangunan Perak

Saarani (dua dari kanan) merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Kilang XP Power (M) Sdn Bhd di Taman Perindustrian Farmaseutikal di Seri Iskandar pada Khamis.
Saarani (dua dari kanan) merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Kilang XP Power (M) Sdn Bhd di Taman Perindustrian Farmaseutikal di Seri Iskandar pada Khamis.
A
A
A

PARIT - Pembinaan kilang pembuat komponen elektrik dan elektronik, XP Power (M) Sdn Bhd pertama dalam negara yang melibatkan pelaburan hampir RM300 juta akan memberi kesan signifikan kepada pembangunan Perak.

Kilang yang akan dibangunkan di lot seluas 8.5 hektar itu menjadi kilang terbesar bagi XP Power dengan menggunakan teknologi moden yang akan melengkapkan fasiliti dan fleksibiliti rantaian produk itu khususnya di Asia Tenggara.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, fasa pertama projek Asia III merupakan pelaburan terbesar syarikat itu selepas bertapak di Amerika Syarikat, Jerman, China dan Vietnam.

Menurutnya, projek yang dijangka siap pada suku kedua tahun 2024 akan mewujudkan lebih 1,200 peluang pekerjaan di daerah Perak Tengah itu.

"Dengan kepakaran hasil pengalaman lebih tiga dekad dalam industri ini sejak 1988 serta reputasinya sebagai antara 250 yang tersenarai di Bursa Saham London, saya yakin operasi XP Power ke Perak akan menyediakan ruang yang luas kepada proses pemindahan teknologi dan pengetahuan.

"Kehadiran syarikat yang memiliki reputasi besar telah menunjukkan Perak kekal kompetitif dalam menarik pelaburan asing dan mengukuhkan proses pemulihan ekonomi pasca Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Kilang XP Power (M) Sdn Bhd di Taman Perindustrian Farmaseutikal, Seri Iskandar di sini pada Khamis.

Hadir sama, Exco Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya; Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Khairul Shahril Mohamed; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Lim Bee Vian dan Ketua Pegawai Kewangan XP Power, Oskar Zahn.

Artikel Berkaitan:

Saarani berkata, XP Power berhasrat untuk menjalankan kerjasama dengan institusi kemahiran dan pengajian tinggi tempatan dalam membekalkan tenaga kerja.

"Kolaborasi dengan Universiti Teknologi Petronas (UTP), Politeknik Ungku Omar (PUO), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Institut Latihan Perindustrian (ILP) membuka peluang kepada mereka untuk mendapat pekerja-pekerja yang mempunyai kemahiran tinggi yang dilatih di pusat berkenaan," katanya.

Sementara itu, Zahn berkata, Malaysia dipilih berbanding 164 negara lain dan Perak mempunyai potensi dalam mengekalkan perniagaan bagi tempoh jangka panjang.

"Pihak kerajaan negeri terutama InvestPerak memberi kemudahan dalam menyediakan lokasi, fasiliti, pendidikan dan lain-lain yang memudahkan pihak kami memilih negeri ini.

"Melihat kepada potensi fasa pertama ini, kita merancang untuk membangunkan fasa seterusnya bergantung kepada pertumbuhan hasil dan permintaan pasaran," katanya.