UiTM, MAB perkukuh kerjasama akademik, industri penerbangan

Roziah (tiga dari kiri) dan Izham (tiga dari kanan) menyempurnakan majlis menandatangani MoU antara UiTM dan MAB di UiTM Shah Alam pada Khamis.
Roziah (tiga dari kiri) dan Izham (tiga dari kanan) menyempurnakan majlis menandatangani MoU antara UiTM dan MAB di UiTM Shah Alam pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Malaysia Airlines Berhad (MAB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi manfaat kekuatan masing-masing sebagai pemangkin dalam industri penerbangan dan pendidikan mampan.

Inisiatif ini melibatkan pertukaran institusi antara fakulti dan kakitangan dari setiap institusi rakan kongsi; sesi perkongsian ilmu bersama melalui penganjuran acara seperti simposium, persidangan, kursus pendek, pembangunan projek kerjasama dan penerbitan; serta aktiviti pemasaran silang dan promosi.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata, sebagai institusi pengajian tinggi terbesar di Malaysia, UiTM sentiasa berharap untuk bekerjasama dan mengambil langkah proaktif dengan pihak industri.

Menurut beliau, kerjasama bagi memaksimumkan inisiatif untuk memperkukuh, mempromosi dan membangun berdasarkan konsep 3 Degrees of Separation: Akademik - Industri - Komuniti, dalam kalangan kakitangan akademik dan bukan akademik, pelajar serta alumni untuk meningkatkan lagi kerjasama rangkaian antarabangsa UiTM.

"Malaysia Airlines adalah simbol kebangsaan yang sangat dekat di hati rakyat Malaysia. MoU hari ini akan menjadi era penggabungan antara UiTM dan MAB.

"Peralihan dan perubahan berlaku dalam persekitaran akademik dan industri memastikan kesinambungan agenda nasional dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), kita tidak kompromi kerana kami berusaha untuk memberikan yang terbaik dalam menyediakan pendidikan berkualiti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis menandatangani MoU antara UiTM dan MAB diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan bagi Kumpulan Penerbangan Malaysia, Kapten Izham Ismail di Galeri Seni Tuanku Nur Zahirah (GESTURZ), UiTM Shah Alam pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor UiTM Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN), Profesor Dr Mohamad Hariri Abdullah.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Roziah percaya bahawa organisasi infrastruktur dan teknologi terkini boleh meningkatkan kerjasama selanjutnya, pertukaran institusi, sesi perkongsian pengetahuan bersama, penyelidikan dan penerbitan, kolumnis pakar, atau penulisan editorial serta aktiviti promosi bersama boleh memanfaatkan perkongsian dan pendidikan inovatif dalam pelbagai cara.

Di samping itu, beliau berkata, kakitangan MAB akan dapat memanfaatkan program pembangunan diri untuk melanjutkan pelajaran atau menjalankan penyelidikan.

Sementara itu, menurut Izham, sebagai syarikat penerbangan kebangsaan, MAB bersama-sama dengan syarikat-syarikat sekutu dalam Kumpulan Penerbangan Malaysia mengiktiraf bahawa peranan kumpulan itu bukan hanya untuk menyediakan perkhidmatan penerbangan malah keperluan untuk menyediakan bakat yang bersedia untuk masa hadapan dan membina sebuah pasukan inovatif yang berkhidmat kepada industri penerbangan atau pelancongan.

Izham turut menyifatkan pengumuman dan MoU berkenaan mengukuhkan lagi hubungan MAB dengan UiTM yang sudah terjalin sekian lama dengan UiTM telah menghasilkan pakaian seragam 'kebaya' ikonik bagi krew kabin wanita MAB yang masih digunakan hingga kini serta corak Harimau Malaya untuk pesawat A330.

"Kami berharap dapat mewujudkan kerjasama yang membolehkan pelajar untuk meneroka aspek penyelidikan dan pembangunan produk serta perkhidmatan dalam penerbangan Malaysia seperti perkhidmatan makanan serta hiburan di dalam pesawat, di samping mempromosikan pengalaman pembelajaran secara amali dan penglibatan dalam projek yang menarik dengan MA.

"Bersempena dengan majlis menandatangani MoU ini, MAB dan Firefly turut berbesar hati untuk memperluaskan manfaat degan memberikan diskaun sebanyak 15 peratus tambang penerbangan kepada semua alumni UiTM yang berdaftar melalui Aplikasi Media Sosial MyAlumni UiTM," katanya.

Kata beliau lagi, tempahan bermula dari 8 September hingga 8 Oktober 2022 untuk perjalanan pada 13 September 2022 hingga 30 November 2022 ke semua destinasi domestik dan antarabangsa terpilih.