RM1.12 juta disalur bagi penganjuran Sukan Bangsa Johor

Mohd Hairi (dua dari kiri) menyerahkan peruntukkan subsidi pengelolaan Sukan Bangsa Johor kepada wakil-wakil DUN di Bangunan Sultan Ismail pada petang Rabu.
Mohd Hairi (dua dari kiri) menyerahkan peruntukkan subsidi pengelolaan Sukan Bangsa Johor kepada wakil-wakil DUN di Bangunan Sultan Ismail pada petang Rabu.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.12 juta bagi penganjuran Sukan Bangsa Johor di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sepanjang bulan ini.

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, bagi tujuan pengelolaan acara sukan tersebut setiap DUN akan menerima subsidi pengelolaan sebanyak RM20,000.

Katanya, empat acara sukan yang dipertandingkan ialah sepak takraw, bola keranjang, bola jaring dan futsal.

"Pertandingan awal dilaksanakan di peringkat DUN dan kemudiannya pasukan yang menang akan bertanding dalam daerah masing-masing sebelum dipilih ke peringkat negeri.

"Kemuncak Sukan Bangsa Johor peringkat negeri akan diadakan di Muar pada 15 dan 16 Oktober. Seramai 1,848 peserta disasarkan akan menyertai Sukan Bangsa Johor," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis taklimat dan penyerahan cek subsidi Sukan Bangsa Johor 2022 di Bangunan Sultan Ismail di sini pada petang Rabu.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Datuk On Jabbar@Jaafar dan Pengarah MSNJ, Nor Syazlan Abd Razak.

Menurut Mohd Hairi, penganjuran Sukan Bangsa Johor bukan sahaja dapat memajukan sukan dalam kalangan masyarakat, malah ia dapat mengekalkan gaya hidup sihat.

Artikel Berkaitan:

"Program sukan melibatkan masyarakat sudah sinonim dengan MSNJ sebagai contoh Sukan Johor, Sukan Muafakat, Sukan Makmur Johor dan Sirkit Remaja.

"Kali terakhir, kerajaan negeri menerusi MSNJ menganjurkan sukan untuk masyarakat adalah pada tahun 2019 iaitu Sukan Muafakat Johor.

"Setahun selepas itu penganjuran karnival sukan seumpama ini tidak dapat dilaksanakan disebabkan penularan Covid-19," katanya.