Perbicaraan pinda laporan audit 1MDB selesai

Perbicaraan Najib dan Arul Kanda yang didakwa berhubung kes meminda laporan audit 1MDB, akhirnya selesai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu.
Perbicaraan Najib dan Arul Kanda yang didakwa berhubung kes meminda laporan audit 1MDB, akhirnya selesai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Selepas tiga tahun Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy didakwa berhubung kes meminda laporan audit 1MDB, akhirnya perbicaraan kes tersebut di Mahkamah Tinggi di sini selesai pada Rabu.

Perbicaraan yang berlangsung selama 43 hari bermula 18 November 2019, pendakwaan telah memanggil 16 saksi untuk memberi keterangan.

Antara saksi yang hadir ialah bekas Ketua Audit Negara (KAN), Tan Sri Ambrin Buang; bekas KAN, Tan Sri Dr Madinah Mohamad dan bekas Ketua Setiausaha Negara, Allahyarham Tan Sri Ali Hamsa.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu Hakim Mohamed Zaini Mazlan bahawa pendakwaan menutup kesnya.

Ia selepas saksi terakhir saksi pendakwaan ke-11 (SP-11), bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Mohd Salleh dan (SP-15) Arul Kanda selesai memberi keterangan.

“Kami menutup kes pendakwaan dan menawarkan 18 saksi kepada pasukan pembelaan,” katanya.

Antara saksi tersebut, bekas CEO 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed dan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 Oktober depan kepada pendakwaan dan pembelaan untuk memfailkan hujahan bertulis manakala hujahan balasan pada 14 Oktober, seterusnya pendengaran hujahan pada 28 Oktober.

Artikel Berkaitan:

Najib, 69, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.