Najib berhak diberi taklimat pembetulan laporan audit 1MDB: Saksi

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersetuju dengan cadangan pembelaan di Mahkamah Tinggi di sini, pada Jumaat bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak berhak untuk diberi taklimat cadangan pembetulan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Saksi pendakwaan ke-16, Haniff Lami berkata demikian ketika ditanya oleh peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah semasa prosiding pindaan laporan akhir audit 1MDB membabitkan Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Haniff berkata ‘betul’ apabila Muhammad Shafee mencadangkan bahawa Najib selaku Menteri Kewangan yang memiliki 100 peratus saham dalam 1MDB berhak untuk diberi taklimat dan cadangan sama ada pembetulan atau penerangan mengenai keadaan sebenar syarikat.

Muhammad Shafee: Pihak yang diaudit ialah 1MDB?

Haniff: Betul.

Muhammad Shafee: Adakah tuan tahu, 1MDB adalah syarikat bawah Kementerian Kewangan, Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc)?

Haniff: Tahu.

Muhammad Shafee: Jadi saham 100 peratus kepunyaan MOF?

Artikel Berkaitan:

Haniff: Betul.

Muhammad Shafee: Ketika itu, siapa menteri MOF?

Haniff: Semasa kes audit, Datuk Seri Najib.

Oleh itu Muhammad Shafee mencadangkan kepada saksi itu bahawa Najib berhak untuk diberi taklimat mengenai keadaan sebenar syarikat itu, selaku pihak yang diaudit.

Selain itu, saksi itu berkata pernah mendengar bahawa Ketua Audit Negara ketika itu, Tan Sri Ambrin Buang menafikan ada mengubah laporan audit 1MDB.

“Betul,” kata Haniff selepas Muhammad Shafee mencadangkan bahawa Ambrin pernah menegaskan bahawa, tiada sesiapa yang boleh membuat pindaan laporan audit tanpa persetujuan dan kelulusannya.

Sementara itu, ketika ditanya peguam Datuk N Sivananthan, saksi itu bersetuju Najib dan Arul Kanda disiasat kerana didakwa melakukan jenayah selepas mengarahkan Ambrin untuk membuat pindaan terhadap laporan audit tersebut.

Haniff berkata ‘tidak tahu sepenuhnya’ mengenai kenyataan yang dibuat oleh Ambrin di mahkamah bahawa pindaan laporan dibuat mengikut budi bicaranya.

Susulan itu, saksi itu berkata, ia menyebabkan keterangannya dengan kenyataan oleh Ambrin adalah berlawanan.

Najib, 69, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Prosiding di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung Rabu depan.