Pesawah gesa cepatkan projek jalan ladang

Ridzuan menunjukkan jalan ladang yang belum siap. Gambar kecil dari kiri: Mohd Nasir, Mohd Salleh.
Ridzuan menunjukkan jalan ladang yang belum siap. Gambar kecil dari kiri: Mohd Nasir, Mohd Salleh.
A
A
A

ALOR SETAR - Lebih 300 pesawah di Kampung Benua dan Kampung Kebun Pinang di sini menggesa pembinaan jalan ladang dipercepatkan untuk membolehkan kerja-kerja menuai di 287 hektar sawah berjalan lancar.

Pesawah, Mohd Nasir Jamaludin, 56 berkata, kawasan sawah di situ kini dalam fasa menuai padi yang telah berjalan sekitar Julai lalu.

Walau bagaimanapun katanya, terdapat pesawah yang tidak dapat menuai padi kerana tiada akses untuk jentera melakukan kerja-kerja penuaian.

"Bayangkan mesin padi tak boleh rapat ke tempat tuang padi kira-kira 100 meter jaraknya dari ban.

"Ini kerana ada parit yang digali oleh kontraktor bagi melancarkan projek jalan ladang terbabit," katanya ketika ditemui di tapak projek jalan ladang di Kampung Benua di sini pada Rabu.

Pesawah di Kampung Benua menunjukkan jalan ladang yang belum siap di kampung mereka di sini pada Rabu.
Pesawah di Kampung Benua menunjukkan jalan ladang yang belum siap di kampung mereka di sini pada Rabu.

Mohd Nasir yang juga pengusaha jentera berkata, dia terpaksa mengeluarkan modal sebanyak RM3,500 untuk membina jalan alternatif bagi memudahkan kerja-kerja penuaian.

"Kalau nak harapkan pesawah, mereka pun tiada duit, kalau kita nak tunggu projek jalan siap pun kita tak tahu bila hendak siap, mungkin setahun dua tahun lagi.

Artikel Berkaitan:

"Kalau saya tak usahakan, hasil padi pesawah tak dapat dikeluarkan, dan mereka terpaksa menanggung kerugian," katanya.

Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Batu 4, Mohd Salleh Omar, 65, berkata, projek tersebut yang dianggarkan sejauh 5 kilometer (km) dimulakan sejak 2020 namun tergendala akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Projek ini disambung semula pada Julai lalu, namun prosesnya agak perlahan dan mengundang masalah kepada pesawah.

"Kami sebelum ini mencadangkan supaya 1,000 lori tanah dibawa ke sini untuk membuat jalan tersebut tetapi setakat ini hanya kira-kira 200 lori saja yang sampai," katanya.

Ketua Unit Pertubuhan Peladang Kewasan (PPK) Kampung Benua, Che Mahazer Ghazali, 58, berkata, parit yang digali itu juga menyukarkan air mengalir keluar dari sawah.

"Parit yang dikorek pun belum selesai lagi jadi air dalam sawah sukar nak keluar ke parit dan akhirnya tanah sawah jadi jerlus.

"Jadi kita mohon juga pihak bertanggungjawab mencuci parit yang digali sebagai persediaan sawah musim hadapan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Benua, Ridzuan Mansur, 56, berkata, beliau telah beberapa kali menerima aduan daripada pesawah berkaitan masalah terbabit.

"Kami bukan hendak menuding jari kepada sesiapa tetapi kalau boleh percepatkan projek ini demi kemudahan penduduk.

"Projek ini tidak dinafikan sangat baik dalam meningkatkan kemudahan pesawah tetapi kelewatannya agak mengecewakan kami," katanya.

Ridzuan berkata, penghantaran tanah ke kawasan itu juga tidak konsisten mengikut jadual yang mendorong kelewatan projek berkenaan.

"Lori yang bawa tanah bukan hari-hari datang dan jumlah lorinya pula cuma empat atau lima buah saja sekali masuk," katanya.