Ribut: Lebih 50 rumah di Kampung Melayu Majidee terjejas

Keadaan rumah penduduk di Kampung Melayu Majidee yang terjejas akibat ribut petang tadi.
Keadaan rumah penduduk di Kampung Melayu Majidee yang terjejas akibat ribut petang tadi.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Lebih 50 kediaman di Kampung Melayu Majidee di sini terjejas akibat ribut petang tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri Larkin, Mohd Hairi Mad Shah berkata, antara kerosakan adalah melibatkan bumbung rumah dan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) akan dibuka di Dewan Raya Kampung Melayu Majidee dalam masa terdekat bagi menempatkan penduduk terjejas.

"Ini perlu kerana rumah yang rosak itu tidak selamat untuk didiami, ada bumbung yang terbuka luas, jadi kami ambil keputusan buka satu PPS dan galakkan mangsa pindah sementara... Kami akan berusaha dapatkan peruntukan bantuan di peringkat negeri dan pusat.

"Saya sendiri sudah menghubungi Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan beliau memberi maklum balas positif berhubung perkara ini," katanya kepada pemberita selepas melawat kediaman mangsa yang terjejas di sini malam ini.

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri itu berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat serta mengenal pasti jumlah kerugian.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Johor Bahru dalam satu kenyataan memaklumkan tiga kereta rosak kerana dihempap pokok akibat ribut pada jam 2.48 petang.

Menurut sekretariat itu, laporan mengenai insiden tersebut akan dikemas kini dari semasa ke semasa. - Bernama