Penyeludup sorok peluru, dadah dalam semak

Muhamad Zaki (kanan) menunjukkan pelbagai jenis peluru serta biji benih ganja yang ditemui di dalam semak di pangkalan haram Pok Ngoh, Kuala Jambu di Tumpat oleh Batalion 9 PGA Kuala Terengganu pada Selasa.
Muhamad Zaki (kanan) menunjukkan pelbagai jenis peluru serta biji benih ganja yang ditemui di dalam semak di pangkalan haram Pok Ngoh, Kuala Jambu di Tumpat oleh Batalion 9 PGA Kuala Terengganu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Tindakan penyeludup menyorok peluru dan pelbagai jenis dadah di dalam semak di pangkalan haram Pok Ngoh, Kuala Jambu di Tumpat berjaya dikesan oleh Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu pada Selasa.

Peluru jenis 38 SPL USA, 9MM, 357 MAG USA, Buck Shot 12 Gauge dan 22 serta pil yaba, syabu dan biji benih ganja itu diletakkan di dalam sebuah beg kecil sebelum disorok dalam semak.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, semasa rondaan pada jam 12 tengah hari sepasukan PGA telah menjumpai satu beg berwarna gelap berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan semak di tepi Sungai Golok.

"Setelah membuat pemerhatian selama dua jam dan mendapati tiada sesiapa yang menghampiri serta mengambil beg terbabit, anggota PGA telah bertindak membawanya ke Balai Polis Kuala Jambu untuk pemeriksaan lanjut.

"Hasil pemeriksaan telah menjumpai satu tiup berisi biji disyaki jenis ganja, syabu (20 gram) dan pil yaba (240 biji)," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, turut dijumpai ialah tiga butir peluru jenis 22, 38 SPL USA (10 butir), 9MM (10 butir), Buck Shot 12 Gauge (16 butir) dan 357 Mag USA (30 butir).

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan tersebut ialah RM5,239 dan ia dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran tempatan.

Muhamad Zaki berkata, kes disiasat bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960, Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan: