Ketua perwakilan diplomatik perlu lebih kreatif tarik pelabur

Ismail Sabri ketika disambut Saifuddin semasa menghadiri Majlis Perasmian Persidangan Ketua-ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia Kesembilan (HOMC9) di Wisma Putra hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri ketika disambut Saifuddin semasa menghadiri Majlis Perasmian Persidangan Ketua-ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia Kesembilan (HOMC9) di Wisma Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menyeru ketua-ketua perwakilan diplomatik Malaysia di luar negara untuk menerapkan pendekatan lebih kreatif dalam usaha menarik kembali kemasukan lebih ramai pelabur asing ke Malaysia.

"Kita juga harus cakna dalam meneroka serta menarik pelaburan daripada negara-negara yang baharu, terutamanya apabila dunia sedang rancak mencari destinasi pelaburan yang stabil di era pasca-pandemik ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Ketua-Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia Ke-9 (HOMC9) yang diadakan secara maya, di Wisma Putra malam ini.

Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, para perwakilan juga perlu turut memberi fokus kepada pembukaan peluang pasaran kepada produk-produk eksport Malaysia.

"Beberapa bidang tertentu seperti perdagangan, pendidikan dan pertanian perlu diberi penilaian yang menyeluruh ke arah memastikan Malaysia sentiasa di landasan tepat dan tidak ketinggalan dalam dinamik perkembangan global dan cabaran semasa khususnya," katanya.

Ismail Sabri juga menyeru seluruh Keluarga Malaysia agar memberikan komitmen untuk melaksanakan usaha memartabatkan bahasa Melayu dan membuktikan bahasa ibunda tidak mengekang kemajuan negara.

Beliau berkata, usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu di persada dunia merupakan dasar kerajaan dan salah satu fokus dalam Kerangka Dasar Luar iaitu Diplomasi Bahasa dan Kebudayaan.

Artikel Berkaitan:

"Saya telah mengarahkan supaya semua urusan surat-menyurat menggunakan bahasa Melayu, termasuk yang melibatkan urusan luar negara.

"Saya sendiri telah mengutus surat kepada pemimpin-pemimpin dunia dalam bahasa Melayu dengan disertakan terjemahan bahasa Inggeris," katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, beliau turut menggunakan bahasa Melayu sewaktu penyertaannya dalam pelbagai mesyuarat antarabangsa yang lain.

Beliau berkata, kerajaan turut menggalakkan diplomat Malaysia untuk menguasai bahasa asing selaras dengan keperluan menjalankan urusan rundingan diplomatik dan perdagangan dengan negara lain.

"Kerajaan bersetuju untuk menaikkan elaun bulanan bagi penjawat awam berkhidmat di luar negara yang menguasai dan menggunakan bahasa asing dalam menjalankan tugas rasmi mereka berkuat kuasa 1 Januari 2023," katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan prihatin dengan peranan penting yang dimainkan Kementerian Luar dan perwakilan diplomatik di luar negara dalam membantu kerajaan mengurus pandemik dan menangani impak negatif.

Beliau berkata, semasa dunia berdepan pandemik Covid-19 dan kebanyakan negara satu demi satu menutup sempadan antarabangsa masing-masing dan Kementerian Luar dengan jaringan perwakilan diplomatik telah memainkan peranan penting.

Antaranya memastikan rantaian bekalan tidak terputus dan aktiviti perdagangan termasuk eksport Malaysia dapat diteruskan, memudah cara perolehan dan juga sumbangan bekalan peralatan perubatan seperti ventilator, alat perlindungan peribadi (PPE) dan bekalan ubat-ubatan yang diperlukan di Malaysia.

Selain itu, perwakilan luar negara juga memudah cara perolehan dan juga sumbangan bekalan vaksin Covid-19 bagi pelaksanaan Program Immunisasi Covid-19 Kebangsaan dan melaksanakan serta memudah cara proses repatriasi rakyat Malaysia yang terkandas susulan penutupan sempadan Malaysia dan beberapa negara lain.

"Hampir 30,000 rakyat Malaysia telah direpatriasi dari 99 buah negara," kata Ismail Sabri.

Beliau berkata, Kementerian Luar serta perwakilan diplomatik Malaysia perlu sentiasa bersedia memainkan peranan lebih aktif supaya hubungan Malaysia dengan negara luar yang sesuai dinaik taraf sama ada ke peringkat perkongsian strategik atau perkongsian strategik komprehensif.

Pembukaan semula pintu sempadan negara pada 1 April lepas merupakan langkah strategik yang diambil kerajaan untuk menggiatkan semula aktiviti ekonomi, termasuk sektor pelancongan antarabangsa.

"Sehingga kini Malaysia telah pun menerima lebih daripada dua juta pelancong luar dengan menjana pendapatan sebanyak RM8.6 billion," katanya.

Ismail Sabri berkata, ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global ketika ini turut menagih agar konsep Keluarga Dunia disebar luaskan lagi di peringkat antarabangsa.

"Sekiranya semua pihak berpegang kepada nilai kekeluargaan dunia dan memikirkan kepentingan bersama, insya-ALLAH kesefahaman dan keakraban dapat dijalin, dipupuk dan dicapai," katanya.

Beliau berkata, walaupun Malaysia sebuah negara kecil tetapi mampu untuk memainkan peranan yang unik dan tersendiri untuk mengingatkan dunia supaya bekerja sebagai sebuah keluarga dalam mendepani cabaran global semasa.

Cadangan bagaimana rukun asas Keluarga Malaysia boleh diterapkan di peringkat global melalui konsep Keluarga Dunia dilontarkan ketika di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-76 pada tahun lepas. - Bernama