MOF pertimbang guna aplikasi teknologi libat subsidi bersasar

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kewangan (MOF) akan mempertimbang langkah penggunaan aplikasi teknologi untuk menyalurkan subsidi bersasar secara cekap kepada golongan terbabit.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagaimanapun menegaskan bahawa keadaan sekarang belum tepat untuk pelaksanaan subsidi bersasar tersebut berikutan ekonomi negara masih dalam fasa pemulihan dan inflasi pula rendah berbanding dengan negara-negara lain.

"Ini kerana kita tidak mahu subsidi bersasar yang dilaksanakan secara tidak tepat. (Malah) kaedah pelaksanaan subsidi petrol secara bersasar juga masih dalam kajian," katanya kepada pemberita di luar program Wild Digital SEA 2022 di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata, pelaksanaan subsidi petrol bersasar juga akan diteruskan bagi menyokong fasa pemulihan ekonomi pada masa ini.

Namun katanya, pelaksanaan subsidi berkenaan di masa depan akan turut bergantung kepada keadaan ekonomi serta harga pasaran minyak mentah.

"Jika harga (minyak) di pasaran pada masa itu adalah rendah, mungkin subsidi bersasar itu tidak diperlukan kerana kerajaan boleh terus memberi subsidi," katanya.

Dalam pada itu, mengulas pengumuman Petronas memberi dividen tambahan sebanyak RM25 bilion kepada kerajaan, Tengku Zafrul berkata, dividen tersebut akan digunakan bagi tujuan perbelanjaan kerajaan selain menampung kos subsidi yang dijangka meningkat sehingga RM80 bilion pada tahun ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: