Petronas umum dividen tambahan RM25 bilion untuk kerajaan

Petronas.
Petronas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) pada Selasa mengumumkan dividen tambahan sebanyak RM25 bilion untuk disalurkan kepada kerajaan, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan bayaran dividen sebanyak RM50 bilion bagi 2022.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata dividen itu adalah tambahan kepada RM25 bilion yang telah diluluskan pada Februari lepas.

"Dividen tambahan RM25 bilion itu telah diluluskan oleh pihak Lembaga Pengarah selepas meneliti kemampuan kumpulan untuk terus membiayai operasi, melunaskan hutang dan memenuhi obligasi serta melabur bagi pertumbuhan masa depan," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan prestasi kewangan bagi separuh pertama kumpulan yang berakhir pada 30 Jun, 2022 di sini pada Selasa.

Mengulas selanjutnya, Tengku Muhammad Taufik berkata, jumlah pembayaran dividen sebanyak RM50 bilion pada 2022 itu juga adalah antara yang tertinggi pernah dibuat oleh kumpulan tersebut selepas pembayaran RM54 bilion pada 2019.

Ditanya sama ada bayaran dividen tambahan itu akan memberi kesan kepada Petronas, beliau berkata kumpulan perlu berbelanja secara berhemat namun pada masa sama mampu meraih keuntungan.

Menurutnya, Petronas juga kekal komited untuk meningkatkan pelaburan diluluskan bagi memastikan operasi yang kekal berdaya tahan di masa depan dalam usaha ke arah peralihan tenaga. - Bernama.

Artikel Berkaitan: