APM siap sedia hadapi banjir

Aminurrahim (dua dari kanan) bersalaman dengan Zakaria (dua dari kiri) pada Majlis Menandatangani Note of Understanding (NOU) bagi pembangunan Civil Defence Auxilliary Action System (CDAS) di Menara Zakat, di Alor Setar, pada Selasa.
Aminurrahim (dua dari kanan) bersalaman dengan Zakaria (dua dari kiri) pada Majlis Menandatangani Note of Understanding (NOU) bagi pembangunan Civil Defence Auxilliary Action System (CDAS) di Menara Zakat, di Alor Setar, pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan susulan ramalan cuaca tidak menentu di hampir kesemua negeri di Semenanjung Malaysia termasuklah Sabah dan Sarawak.

Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed berkata, pihak mereka akan memberi tumpuan kepada kesemua negeri untuk persiapan hadapi banjir tersebut.

Beliau memberitahu, secara umumnya, APM sudah ada ‘hot spot’ yang dijangkakan berlaku bencana tetapi perkara ini sangat sukar untuk diramalkan secara tepat disebabkan perubahan iklim berlaku.

“Sepertimana tahun lepas, kita letak dan gerakkan aset kita ke Pantai Timur rupanya berlaku dekat Lembah Klang. Biasanya, jikalau ikut dulu-dulu punya trend, Monsun Timur Laut akan berada di sebelah Pantai Timur dan berakhir dengan Sabah Sarawak.

“Biasanya begitu, tetapi kita tak tahu dalam keadaan sekarang dan juga perubahan cuaca yang kita pun tidak jangkakan. Cuma memang kita agak berjaga-jaga pada kali ini apabila Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan berkali-kali (banjir),” katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Note of Understanding (NOU) bagi pembangunan Civil Defence Auxilliary Action System (CDAS) antara Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan APM di Menara Zakat, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Penolong Pesuruhjaya Kehormat Pertahanan Awam merangkap Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Zakaria Othman.

Pada Selasa, MetMalaysia mengeluarkan kenyataan hampir kesemua negeri di Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak bakal berdepan dengan cuaca tidak menentu apabila taburan hujan yang lebih kerap diramalkan bakal berlanjutan sehingga Februari 2023.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, kejadian bencana melanda kawasan tertentu pada akhir tahun lepas memberi pengajaran kepada APM untuk lebih berhati-hati hadapi banjir.

“Ketika itu, apabila kita gerakkan jentera ke sana, namun berlaku di sini. Namun, kita dah cuba respons apa yang berlaku pada hujung tahun lepas dan kita akan cuba sebaik mungkin (tahun ini),” katanya.

Aminurrahim memaklumkan, seramai 30,000 anggota APM di seluruh negara sentiasa dalam keadaan bersiap sedia untuk digerakkan untuk menghadapi bencana.

“Dalam tempoh 24 jam, kita boleh gerakkan sekurang-kurangnya 4,000 anggota APM tetapi sebenarnya secara keseluruhan dalam tempoh lebih daripada 24 jam, kita boleh gerakkan hampir 30,000 anggota APM,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, APM dapat mengatur gerak jentera untuk bencana dengan lebih sistematik dan tersusun apabila sistem CDAS siap dibangunkan nanti.

“Insya-ALLAH dengan sistem yang baharu kita ada nanti, ia akan ada maklumat, (sebagai contohnya) ada pandai masak maka kita akan cari (untuk melakukan kerja memasak).

“Kita memang ada banyak anggota ataupun sukarelawan tetapi jikalau kita hantar yang tidak tepat ataupun tidak sesuai, (maka) tidak berapa (membantu),” katanya.

Aminurrahim berkata, APM juga telah menggerakkan latihan sebagai langkah untuk memastikan anggota sentiasa bersedia berdepan sebarang risiko bencana.

Beliau turut mengingatkan orang awam supaya segera berpindah ke tempat tinggi sekiranya kawasan kediaman mereka dinaiki air.

Sebelum itu, APM dan LZNK menjalinkan kerjasama dalam membangunkan sistem CDAS untuk membantu dalam pengurusan bantuan bencana dan menguruskan pasukan bantuan.

Aminurrahim berkata, sistem CDAS itu akan diubah suai sedikit mengikut keperluan APM dan dijangka mengambil masa selama setahun itu disiapkan.

Sementara itu, Zakaria memberitahu, LZNK membangunkan sendiri sistem berkenaan menggunakan kepakaran dalam dimiliki kakitangan lembaga zakat tersebut.

Katanya, sistem ini akan membantu APM memantau status dan mengenal pasti tempat ataupun kawasan yang mengalami bencana serta memerlukan bantuan.

“Sebagai contohnya di Kampung Iboi, orang awam boleh tahu situasi semasa. Semua orang teringin hendak pergi tetapi boleh pergi atau tidak (boleh dirujuk pada sistem CDAS),” katanya.

Zakaria berkata, sistem berkenaan juga boleh memberi maklumat kepada orang awam yang ingin menyumbang tentang keperluan bersesuaian mangsa bencana.