Dokumen penghakiman bocor: Kertas siasatan dikembalikan

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis telah menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya berhubung dakwaan kebocoran dokumen penghakiman mahkamah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kedua-dua kertas siasatan kemudian telah dikembalikan kepada polis untuk siasatan lanjut.

"Bagi kertas siasatan kebocoran dokumen penghakiman mahkamah melibatkan Najib telah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 30 Ogos lalu dan 5 September tetapi ia telah dikembalikan kepada kami.

"Kertas siasatan kebocoran dokumen penghakiman mahkamah melibatkan Rosmah telah dikemukakan pada 30 Ogos lalu dan ia juga telah dikembalikan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Selasa.

Azmi berkata, polis telah merakam keterangan 17 individu berhubung dakwaan kebocoran dokumen penghakiman mahkamah membabitkan Najib, manakala 10 individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan berhubung dakwaan kebocoran dokumen penghakiman membabitkan Rosmah.

"Kita tidak menolak kemungkinan akan memanggil mereka semula untuk dirakam kenyataan," katanya.

Pada Jumaat lalu, media melaporkan Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai memaklumkan polis sudah merekodkan keterangan beberapa individu berhubung dakwaan kebocoran dokumen penghakiman perbicaraan kes rasuah Rosmah membabitkan projek solar hibrid di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Sebelum itu, pada 24 Ogos lalu, media melaporkan polis menerima laporan mengenai dokumen tular yang didakwa kertas keputusan kehakiman berkaitan kes rayuan Najib.

Artikel Berkaitan:

Laporan itu dibuat oleh pegawai mahkamah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada 23 Ogos lalu.