Asing kuasa Peguam Negara-Pendakwa Raya kembalikan kepercayaan rakyat

Tharma Pillai ketika program Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) yang berlangsung di Auditorium Karangkraf. - Foto Sinar Harian / Asril Aswandi Shukor.
Tharma Pillai ketika program Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) yang berlangsung di Auditorium Karangkraf. - Foto Sinar Harian / Asril Aswandi Shukor.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemisahan kuasa antara Peguam Negara dengan Pendakwa Raya perlu bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap ketelusan sistem perundangan di negara ini.

Pengasas dan Pengarah Advokasi Undi18, Tharma Pillai berkata, langkah itu juga penting untuk melawan rasuah dan salah guna kuasa melibatkan semua pihak termasuk kesalahan dilakukan pihak eksekutif atau kerajaan.

"Kita tidak tahu adakah seseorang itu digugurkan kes maka ia merupakan suatu perkara bagus berdasarkan undang-undang yang jitu atau ia dilakukan atas kepentingan politik.

"Pemisahan kuasa ini teramat penting kerana kalau lihat sistem kita sedia ada di mana yang melantik Peguam Negara ialah Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri maka sukar untuk kita katakan bahawa sistem tersebut berlaku pengasingan kuasa.

"Jadi kita syorkan bahawa dua tugas penting ini perlu diasingkan supaya adanya satu sistem dipercayai rakyat apabila terdapat individu didakwa (mahkamah)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) bertempat di Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa.

Penubuhan KRPPM IGAR telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada pada 3 April lalu, bertujuan untuk menggubal, menambah baik dan memperkasa polisi serta dasar berkaitan anti rasuah dan tadbir urus negara untuk memastikan ketelusan, akauntabiliti dan menyekat penyalahgunaan kuasa melalui gabungan kolektif ahli-ahli parlimen, senator, masyarakat sivil dan pakar-pakar dalam bidang berkaitan.

Menurut Tharma, usaha dan reformasi itu juga penting untuk memperjuangkan membanteras rasuah supaya dapat memastikan masyarakat benar-benar percaya terhadap integriti negara ini.

Mengenai KRPPM IGAR, beliau berkata ia merupakan satu usaha murni yang perlu mendapat sokongan bersama dari semua pihak

"Ia satu usaha yang bukan sahaja milik ahli Parlimen atau NGO tapi milik kita semua sebagai rakyat Malaysia bagi memperjuangkan dan melawan barah rasuah di negara ini," ujarnya.