Polis siasat dokumen penghakiman Rosmah didakwa tular

Rosmah
Rosmah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berkaitan pembocoran dokumen yang didakwa kertas keputusan penghakiman berkaitan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, laporan berkaitan kebocoran dokumen tersebut dibuat oleh seorang wanita yang merupakan Pegawai Undang-undang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Ketua Unit Penyelidikan).

Menurutnya, individu berumur 42 tahun itu mendapati pembocoran tersebut berlaku menerusi siaran satu blog tempatan.

"Siasatan dijalankan berdasarkan laporan dibuat itu mendapati pada 26 Ogos (Jumaat) kira-kira jam 11.29 pagi, individu berkenaan telah dimaklumkan berlaku kebocoran dokumen dalaman sulit yang merupakan dokumen draf awal disediakan oleh Unit Penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Dokumen tersebut merupakan dokumen penyelidikan mengenai kes yang masih dalam perbicaraan dan merupakan pandangan oleh Unit Penyelidikan sebagai rujukan kepada hakim," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Eng Lai berkata, berdasarkan laporan dibuat, dokumen tersebut akan dipinda berdasarkan kajian serta bacaan dan ia bukan satu keputusan penghakiman.

Katanya, semakan polis mendapati terdapat satu artikel telah dimuat naik di sebuah portal oleh seorang individu.

"Laporan media tersebut mendakwa keputusan mahkamah mendapati Rosmah Mansor bersalah telahpun disediakan.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, individu yang membuat laporan tersebut mendapati dokumen tersebut telah dipinda daripada dokumen asal," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 ( kerana kesalahan membocorkan maklumat), Seksyen 203A Kanun Keseksaan (kerana kesalahan mendedahkan maklumat) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik).

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang artikel yang boleh menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan masyarakat," katanya.

Pada Jumaat, tular dokumen yang didakwa kertas keputusan penghakiman berkaitan kes rasuah Rosmah membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Difahamkan dokumen terdiri daripada tiga muka surat kertas keputusan kes berkenaan tersebar dalam sebuah laman web pada Jumaat, yang sepatutnya akan diputuskan di Mahkamah Tinggi pada 1 September ini.