Dua lelaki menyamar polis samun warga Nepal

Antara barang-barang yang dirampas termasuk kereta dan pisau yang digunakan dalam kejadian samun di Jalan Grisek-Panchor, Tangkak pada 8 Ogos lalu.
Antara barang-barang yang dirampas termasuk kereta dan pisau yang digunakan dalam kejadian samun di Jalan Grisek-Panchor, Tangkak pada 8 Ogos lalu.
A
A
A

TANGKAK - Dua lelaki yang menyamar sebagai polis dan melakukan samun menggunakan pisau terhadap dua lelaki warga Nepal di Jalan Grisek-Panchor di sini bulan lalu, ditahan pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat berkata, kedua-dua suspek warga tempatan itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di Tangkak dan Muar.

"Kejadian berlaku pada 8 Ogos lalu jam 8.20 malam semasa dua warga Nepal dalam perjalanan balik ke rumah. Mereka telah ditahan sebuah kereta dinaiki dua suspek berkenaan berdekatan jambatan di Jalan Grisek-Panchor.

"Seorang suspek telah mengeluarkan pisau dan meminta kedua-dua mangsa menyerahkan barang peribadi seperti telefon bimbit dan beg silang sebelum melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, mangsa kemudian membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Grisek sebelum kedua-dua suspek berjaya ditahan.

"Polis dapat merampas semula barang-barang peribadi milik mangsa dan juga kereta serta senjata yang digunakan dalam kejadian itu," katanya.

Menurut Mohd Fadhil, kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan menggunakan senjata yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun dan juga boleh disebat.

Beliau menambah, kedua-dua suspek direman tiga hari bermula Selasa.

Artikel Berkaitan: