Jangan biarkan PATI jadi barah dalam negara

Masalah PATI bagaikan tidak berkesudahan apabila ada antara mereka ke negara ini dengan alasan mencari rezeki, sebaliknya terlibat kegiatan tidak bermoral. - Gambar hiasan
Masalah PATI bagaikan tidak berkesudahan apabila ada antara mereka ke negara ini dengan alasan mencari rezeki, sebaliknya terlibat kegiatan tidak bermoral. - Gambar hiasan
A
A
A

MASALAH pendatang asing tanpa izin (PATI) bagaikan tidak berkesudahan apabila mereka seolah-olah berlumba-lumba masuk ke dalam negara ini dengan alasan mahu mencari rezeki, namun ada antaranya terlibat dengan kegiatan tidak bermoral seperti pelacuran.

Hakikatnya, kehadiran mereka memberi pelbagai impak negatif kepada ekonomi, sosial dan persekitaran negara.

Walaupun tidak dinafikan warga asing penting untuk mengisi keperluan tenaga kerja dalam bidang seperti pertanian dan pembinaan di negara ini, bagaimanapun apabila terlalu ramai mengambil kesempatan masuk tanpa dokumen sah serta menyalahgunakan visa, ia mengundang masalah kepada rakyat tempatan.

Dalam kes ini, majikan tempatan seharusnya memainkan peranan supaya tidak menyumbang kepada lambakan PATI ini.

Jika mereka terus menggajikan PATI kerana mungkin untuk mengurangkan kos tenaga kerja, masalah tidak akan selesai.

Berdasarkan rekod, seramai 211 majikan ditahan sepanjang tahun ini kerana melindungi dan menggajikan PATI.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, statistik setakat 29 Ogos lalu menunjukkan tindakan yang diambil hasil pelaksanaan 5,416 operasi di seluruh negara.

Menurutnya, daripada 211 majikan yang ditahan, majoriti merupakan warga tempatan iaitu seramai 203 orang, diikuti tiga warga Pakistan dan masing-masing satu warga Filipina, Vietnam dan Korea. Selebihnya adalah lain-lain negara.

Mengikut pecahan katanya, tangkapan tertinggi membabitkan warga Indonesia iaitu seramai 6,048 orang, diikuti warga Myanmar iaitu 2,093 orang.

Artikel Berkaitan:

“Seterusnya ialah Bangladesh (1,732), Thailand (969), Filipina (718), India (555), Pakistan (366), Kemboja (253), Nepal (246), Vietnam (235) dan selebihnya adalah lain-lain negara," ujar beliau.

Guna PLS jadi pelacur

Masalah pelacuran bukan perkara baharu dalam negara kita. Sebagai salah satu negara yang pesat membangun, Malaysia menjadi pilihan segelintir wanita dari negara jiran untuk mengaut pendapatan menerusi aktiviti tidak bermoral itu dengan menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS).

Permintaan terhadap wanita daripada Thailand dan Vietnam menjadikan aktiviti pelacuran terus berlaku di negara ini.

Bahkan, ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa selama dua tahun, turut menyaksikan sindiket pelacuran licik menggunakan pelbagai platform lain termasuk dalam talian untuk mencari pelanggan.

Menggunakan WhatsApp, Telegram dan WeChat, pelanggan boleh membuat tempahan dan sindiket berkenaan akan menghantar wanita ke rumah atau mana-mana lokasi ditetapkan.

Menerusi kaedah tersebut, sindiket pelacuran dan pengusaha pusat hiburan masih dapat ‘bernafas’ ketika kerajaan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) ketat sepanjang PKP dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) lalu.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohsin mendedahkan, berdasarkan pemerhatian pihaknya, perkhidmatan tidak bermoral melibatkan wanita warga asing di ibu kota kembali rancak dalam tempoh fasa peralihan endemik ketika ini.

Bagaimanapun, katanya, pengusaha pusat hiburan mengambil pendekatan berbeza apabila hanya membenarkan segelintir pelanggan sahaja untuk masuk berhibur di dalam premis mereka supaya sukar dikesan pihak berkuasa.

“Jika hendak masuk ke pusat hiburan sekarang, perlu melalui sistem booking, malah ada sesetengah premis memilih segelintir kaum sahaja sebagai pelanggan mereka.

“Pengusaha pusat hiburan berbuat demikian untuk mengurangkan risiko diserbu. Kami bila hendak serbu pun bukan suka-suka boleh masuk,” katanya dalam temu bual bersama Sinar Harian baru-baru ini.

Jelasnya, pihak berkuasa juga bertungkus lumus untuk memastikan kegiatan tidak bermoral melibatkan PATI di negara ini ditangani sepenuhnya.

Apa pun, masalah lambakan PATI ini boleh diselesaikan dengan berkesan sekiranya mendapat kerjasama semua pihak termasuk majikan dan juga orang persendirian sebagai ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa.

Jangan biarkan masalah PATI ini menjadi ‘barah’ dalam masyarakat di negara kita.

* Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil ialah Wartawan Meja Jenayah Sinar Harian