HSK Bukit Cherakah: Berdepan saman jika tak teruskan siar warta

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Siar warta bagi penyahwartaan Hutan Simpan Kekal (HSK) Bukit Cherakah adalah bagi melengkapkan proses penyahwartaan yang terhenti ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri telah mengambil peranan yang sewajarnya bagi menyelesaikan perkara yang tertangguh sejak sekian lama.

"Pewartaan telah berlaku lama, tidak ada yang baharu dibuat. Pewartaan sudah dibuat sebelum Pakatan Rakyat mengambil alih negeri Selangor.

"Itu telah dijelaskan berulang kali, jadi kalau kerajaan negeri tidak meneruskan siar warta tersebut, kita akan berdepan saman kerana syarikat-syarikat terbabit akan kehilangan peluang perniagaan yang telah diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum ini," katanya ketika ditemui sempena Program Sinergi Pendidikan Yayasan Selangor di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media mengenai Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah yang didakwa semakin ‘botak’ selepas pewartaan terbaharu pada 5 Mei lalu.

Dalam pada itu Amirudin berkata, sekiranya terdapat syarikat di bawah kerajaan negeri yang terbabit dalam projek di Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah, pihaknya akan meminta mereka menghentikan sebarang aktiviti serta-merta.

"Kita sudah ambil keputusan kalau ia melibatkan anak syarikat kerajaan negeri, kita tidak akan meneruskan pembinaan di situ.

“Kalau ada kita akan arahkan henti dengan tidak membangunkan kawasan itu kecuali jika ia membabitkan kemudahan awam seperti jalan dan tanah perkuburan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan: